KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan kes kehilangan seorang wanita dikenali sebagai Pamelia Ling Yueh kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
SPRM dalam kenyataan berkata, wanita itu sebelum ini telah diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada 9 April lalu bagi membantu siasatan berkaitan kes AMLA.
“Ia bagi membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
“Bagaimanapun, wanita terbabit gagal hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada tarikh tersebut serta peranti komunikasinya gagal dihubungi oleh pegawai SPRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, satu laporan polis turut dibuat oleh peguam yang mewakili wanita itu berhubung kehilangannya pada hari yang sama.
“Mana-mana pihak diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi serta tidak menyebarkan maklumat daripada sumber berita yang tidak sahih dan memberikan ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” jelasnya.
Sebelum ini media melaporkan, polis mengesahkan tiada tuntutan wang tebusan kepada keluarga wanita itu berkaitan kehilangannya sehingga hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, setakat ini belum ada sebarang petunjuk atau perkembangan keberadaan wanita ini. – MalaysiaGazette