Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang berkenan berangkat ke Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2025 di Padang MBK 1, hari ini.

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada semua anggota bomba di negara ini atas perkhidmatan dan pengorbanan yang telah dihulurkan.

Titah baginda, tanpa pasukan bomba, mungkin masalah yang dihadapi rakyat pada musim tengkujuh, musim kering dan masalah lain mungkin agak sukar diselesaikan.

“Sekali lagi saya ucap terima kasih. Saya dimaklum sejarah bomba ini begitu lama sekali, ditubuhkan pada 1883 lagi.

“Ini bermakna selama 142 tahun berada di bumi Malaysia ini dan sejak 1976 telah dinaik taraf sebagai satu pasukan perkhidmatan.

“Ini bermakna sudah 49 tahun sudah menjadi satu pasukan yang disegani oleh ramai di peringkat ASEAN dan di seluruh dunia,” titah Al-Sultan Abdullah yang berkenan berangkat ke majlis sambutan ulangtahun Hari Angkatan Bomba Sedunia 2025 di Padang MBK 1, di sini hari ini.

Baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan  Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang disambut Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Ts. Nor Hisham Mohammad.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan memeriksa kawalan kehormatan sebelum berangkat ke pentas utama bagi menyaksikan acara yang disediakan.

Acara tersebut diteruskan dengan gimik perasmian yang menyaksikan lima anggota pasukan elit ‘smoke jumpers’ JBPM melakukan penerjunan di padang itu dari pesawat Mi-17 pada ketinggian 1,219 meter diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Zulkifli Ali, membawa bendera Jalur Gemilang, bendera Negeri Pahang dan bendera JBPM.

Pasukan itu seterusnya menghadap sembah kepada Al-Sultan Abdullah bersama sebuah nozel tembaga untuk diletakkan di atas plak perasmian berbentuk Menara Kuantan 188.

Program seterusnya disemarakkan lagi dengan persembahan deklamasi Sajak bertajuk ‘Wira Merah, Bakti Dijunjung Kecemerlangan Dijulang’ dan pertunjukan kebombaan memukau daripada seramai 130 anggota Pasukan Special Tactical Operation and Rescue Team of Malaysia (STORM) JBPM.

Acara disusuli perarakan berjalan lalu oleh 34 kontinjen JBPM serta agensi jemputan diketuai anggota-anggota pembawa bendera Jalur Gemilang dan bendera JBPM, diikuti 35 anggota kontinjen Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, Kuantan.

Al-Sultan Abdullah dan Tengku Aziazah kemudian berkenan turun menyertai lintasan pasukan Kelab Bomba Cilik seramai 30 orang kanak-kanak daripada Tabika Perpaduan Permatang Badak, Tabika Kemas Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota serta Tabika Bestari Kuantan untuk bergambar kenangan sebelum perarakan diteruskan.

Dianggarkan lebih 10,000 pengunjung tanpa mengira usia tidak melepaskan peluang membanjiri Padang MBK 1, di sini untuk menyaksikan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2025 kali ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here