KUALA LUMPUR – Ketiadaan lampu jalan di lebuh raya dan kawasan berisiko tinggi bukan sekadar menyulitkan pengguna jalan raya malah menimbulkan pelbagai risiko keselamatan termasuk kemalangan maut, kelewatan bantuan kecemasan, serta ancaman terhadap nyawa petugas penyelamat.

Presiden Wakaf Pulau Besar Malaysia (MGIM), Omar Muhammad Isa melahirkan kebimbangan serius terhadap keadaan ini dan menyeru pihak kerajaan serta agensi bertanggungjawab untuk segera menaik taraf sistem pencahayaan di lebuh raya utama dan jalan persekutuan.

Antara agensi itu termasuklah PLUS Malaysia Berhad, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). 

“Sebagai pengguna jalan raya, saya sendiri melalui kawasan-kawasan gelap ini hampir setiap minggu. Beberapa kali saya hampir terlibat dalam kemalangan kerana tidak nampak kenderaan yang berhenti di bahu jalan atau simpang yang tiada lampu.

“Malah saya sendiri pernah beberapa kali tampil membantu serta berhubung pihak berwajib ketika berlakunya sesuatu insiden. Saya beri contoh, ketiadaan lampu juga menyukarkan kerja-kerja menyelamat sekiranya berlaku kemalangan, sebagaimana berlaku dalam tragedi pada hujung tahun lalu di Lebuhraya PLUS arah utara yang mengorbankan lima sekeluarga.

“Petugas kecemasan memaklumkan mereka terpaksa gunakan lampu suluh kerana kawasan itu sangat gelap. Tiada satu pun lampu jalan di lokasi. Bagaimana kita mahu selamatkan nyawa jika asas seperti pencahayaan pun tiada,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Presiden Wakaf Pulau Besar Malaysia (MGIM), Omar Muhammad Isa.

Omar yang juga dikenali sebagai ‘Abang Highway’ di media sosial kerana kerap mengetengahkan isu infrastruktur jalan, menambah bahawa banyak kawasan di lebuh raya gelap sepenuhnya selepas keluar dari plaza tol walaupun lampu tersedia untuk papan iklan dan kamera AES.

“Kami bukan minta lebih. Kami cuma minta keutamaan diberikan kepada pencahayaan jalan demi keselamatan rakyat. Jangan tunggu tragedi baru mahu bertindak,” tegasnya.

Beliau turut mencadangkan agar audit pencahayaan dilakukan di semua laluan utama serta laporan kemalangan turut menilai pencahayaan sebagai faktor penyumbang, bagi membolehkan pelan pencegahan yang lebih menyeluruh dilaksanakan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here