KUALA LUMPUR – Polis masih mengesan keberadaan Pamela Ling yang didakwa hilang ketika dalam perjalanan untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, 9 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa yang mengesahkan perkara itu berkata, setakat ini belum ada perkembangan baharu keberadaan wanita ini.
Bagaimanapun, usaha mencari dan mengesan wanita ini masih giat dijalankan.

“Belum ada sebarang petunjuk atau perkembangan keberadaan wanita ini dan seramai 12 individu telah dirakam keterangan termasuk pegawai SPRM dan peguam Pamela.
“Siasatan turut mendapati tiada sebarang tuntutan wang tebusan berkaitan kehilangannya kepada keluarganya setakat ini,” katanya dalam kenyataan secara ringkas ketika dihubungi.
Pamela, 42, sepatutnya hadir memberi keterangan di SPRM mengenai satu siasatan yang sedang dijalankan dan ketidakhadirannya disahkan oleh pihak SPRM.
Ia bukan kali pertama Pamela ke SPRM untuk memberi keterangan berkaitan kes yang sedang disiasat.
Rusdi dilaporkan berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kehilangan wanita itu di Balai Polis Presint 7, Putrajaya pada 9 April lalu, kira-kira jam 3.02 petang.
Ahli keluarga mangsa berkata, kenderaan e-hailing yang dinaiki mangsa telah ditahan tiga kenderaan tidak dikenal pasti sebelum mengarahkan wanita itu menaiki salah sebuah kereta terbabit.
Dakwa ahli keluarga mangsa, sehingga kini ibu kepada tiga anak itu masih tidak dapat dijejaki atau dihubungi setelah 20 hari dilaporkan hilang. – MalaysiaGazette