Bekas ahli GISBH yang menyertai Program lnsan Rabbani Tahun 2025M/1446H di S.R.A Bandar Country Homes, Rawang. Foto AIZAT ZAINAL, 4 MEI 2025.

RAWANG – Seramai 2,474 bekas ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) termasuk 1,410 kanak-kanak sudah selesai tujuh sesi proses pemulihan akidah menerusi Program Insan Rabbani anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin berkata, proses pemulihan akidah itu masih diteruskan melibatkan empat institusi pendidikan di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bermula 15 Februari tahun lalu hingga Ogos ini.

“Dari 24 sesi Program Insan Rabbani yang kita anjurkan dan sebanyak tujuh sesi sudah selesai dijalankan ketika ini bagi bekas ahli GISBH untuk belajar akidah yang sebenarnya mengikut fahaman Ahlu Sunnah Wal Jamaah.

“Kita galakkan mereka (bekas ahli GISBH) untuk datang secara sukarela ke dalam kelas-kelas bimbingan ini supaya mereka tahu betapa perlunya mengikut akidah dan ajaran Islam yang sebenar,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Ramah Mesra bersama peserta Program Insan Rabbani 2025 di Sekolah Rendah Agama (SRA) Bandar Country Homes di sini.

Turut hadir Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Bekas ahli GISBH membawa kotak makanan kering yang diagihkan kepada peserta Program lnsan Rabbani Tahun 2025M/1446H di S.R.A Bandar Country Homes, Rawang. Foto AIZAT ZAINAL, 4 MEI 2025.

Ketika ini, program Insan Rabbani melibatkan empat institusi di bawah JAIS, termasuk SRA Bandar Country Homes, Rawang; SRA Sijangkang, Kuala Langat; SRA Sg Kantan, Kajang serta Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Program itu meliputi Fasa Pemulihan serta Fasa Pemantapan dan Pengukuhan masing-masing berjalan selama enam bulan, diikuti pemantauan menerusi Fasa Pasca Pemulihan dan Fasa Pemantauan dan Khidmat Sokongan.

Sehingga kini, MAIS telah melaksanakan Program Pemulihan Akidah Bagi Kanak-Kanak GISBH pada September hingga Disember 2024 lalu melibatkan kanak-kanak GISBH di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Salehuddin juga berkata, MAIS menggunakan pendekatan dalam Program Insan Rabbani dengan penyertaan secara sukarela untuk memastikan bekas ahli GISBH menerima proses pemulihan akidah itu dengan ikhlas.

“Kita tak paksa mereka, kita utamakan keikhlasan supaya mereka datang, mereka tahu mereka telah membuat kesilapan.

“Dengan itu mereka datang kembali kepada institusi agama untuk kita pulihkan akidah mereka ini.

“Ini bagi memastikan kumpulan-kumpulan yang telah dipesongkan akidah mereka ini kembali ke pangkal jalan dan kita tidak disisihkan mereka,” katanya.

Bekas ahli GISBH ketika mengambil sumbangan pada Peserta Program lnsan Rabbani Tahun 2025M/1446H di S.R.A Bandar Country Homes, Rawang. Foto AIZAT ZAINAL, 4 MEI 2025.

Dalam majlis sama, MAIS juga turut menyampaikan simbolik serahan bantuan fidyah sebanyak 350 kotak makanan kering bernilai RM77,700 kepada penerima yang memerlukan.

“Dari 350 kotak makanan kering, sebanyak 200 kotak diagihkan kepada penerima melalui SRA Bandar Country Homes, Rawang; 50 kotak melalui SRA Sijangkang, 50 kotak kepada penerima melalui SRA Sg Kantan dan 50 kotak melalui Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

“Kotak makanan kering berupa set makanan asasi seperti beras, minyak masak, bihun, gula, tepung gandum, kicap manis dan susu pekat manis,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here