MELAKA – Tular dakwaan individu seorang pelajar lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran di GiatMara Durian Tunggal, Melaka menjadi mangsa buli pelajar lain.
Menerusi video berdurasi dua minit itu, pemuda berkenaan mengakui terkejut apabila pelajar OKU terbabit yang baru dikenali di gelanggang badminton menceritakan kejadian tersebut kepadanya.
Pemuda itu mendakwa pelajar terbabit memberitahu sering dibuli secara fizikal dan mental oleh sekumpulan pelajar lelaki lain di institusi latihan kemahiran di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu.
“Dipendekkan cerita, agak mengejutkan bila kawan baru aku ini yang merupakan OKU lembab pembelajaran menjadi mangsa buli dan semua dakwaan itu ada disertakan bersama video sebagai bukti.
“Dia tengah tidur kena baling botol, tengah belajar budak-budak ini angkat motor dia simpan dalam sangkar dan bila kes ini melibatkan OKU orang yang buli itu memang pengecutlah,” dakwanya menerusi video yang tular.
Malah, pemuda berkenaan turut mahu orang ramai menularkan video berkenaan dan berjanji dia sendiri akan ke GiatMara Durian Tunggal untuk meminta penjelasan sekiranya aduannya itu diabaikan pihak berwajib.
Dia turut berkongsi video insiden buli berkenaan yang dengan jelas menunjukkan muka pelajar lain didakwa adalah pembuli pelajar OKU terbabit.
Sementara itu, MalaysiaGazette sedang mendapatkan reaksi daripada pihak berkuasa namun belum mendapat sebarang jawapan berhubung dakwaan pemuda itu.
Media terdahulu melaporkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki merayu supaya pelajar tidak berasa ragu untuk melaporkan perbuatan buli yang berlaku di asrama.
Menurutnya, pelajar tidak seharusnya risau atau bimbang dilabel dengan pelbagai gelaran seperti ‘jibam’, ‘Mat Repot’ atau ‘barua’ dan sebagainya hanya kerana membuat laporan berkenaan insiden buli.
Sebelum ini, Mara menamatkan serta-merta pengajian tujuh pelajar yang didapati terbabit buli fizikal termasuk bersubahat dengan perbuatan itu dalam kejadian yang dilaporkan berlaku di sebuah MRSM di Pulau Pinang.
Ia selepas satu rakaman video berdurasi 1.31 minit tersebar di media sosial memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil. – MalaysiaGazette