MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperluaskan kerjasama strategik dengan rangkaian industri dalam bidang tumpuan global masa kini menerusi pemeteraian empat memorandum persefahaman (MoU) dan satu memorandum perjanjian secara serentak baru-baru ini.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM terus agresif dan komited berhubung usaha pemantapan hubungan strategik dengan rangkaian industri secara bersepadu.
Ujarnya, pada masa yang sama bidang tumpuan kerjasama pula adalah berkisar kepada keperluan semasa industri global yang sedang rancak berkembang pesat pada masa kini.
Jelasnya, pada hari ini UTeM bertukar MoU bersama dengan empay industri yang terdiri daripada Favoriot, AI SDS Lab, AMTIS Solution Sdn Bhd dan OLIVETOUCH Technologies Sdn Bhd manakala MoA pula melibatkan antara UTeM Holdings Sdn Bhd (UHSB) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Katanya, kerjasama UTeM antara AMTIS Solution Sdn Bhd dan OLIVETOUCH Technologies Sdn Bhd adalah tertumpu kepada projek pembangunan perisian dan pengkalan data, di samping bersama menjayakan program Work Based Learning dan industri di fakulti.
Sementara itu, kerjasama UTeM dan Favoriot pula dalam bidang kepintaran buatan dan internet kebendaan di samping menjayakan kerjasama dalam aspek pensijilan, latihan profesional untuk staf dan penyediaan latihan industri buat pelajar UTeM.
Di samping itu, kerjasama strategik antara UTeM dan AI SDS Lab pula tertumpu kepada pendedahan lanjut kepada pelajar dan staf UTeM dalam Semiconductor Integrated Circuit Design secara lanjutan, katanya lagi.
Majlis tersebut telah disempurnakan menerusi pertukaran MoA dan MoU yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud di Bangunan Canselori, Kampus Induk UTeM.- MalaysiaGazette