Agen Pelaburan, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman bercakap pada sidang media MHO mengenai Skandal Pelaburan I-RPS disyaki palsu babitkan 125 mangsa dan RM39.4 juta lesap di Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 5 MEI 2025

KUALA LUMPUR –  Ahli perniagaan, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman hari ini menegaskan beliau bukan pengendali skim penipuan pelaburan yang dikaitkan dengan sebuah syarikat.

Suami kepada selebriti Heliza Helmi itu sebaliknya hanya bertindak sebagai wakil atau ‘jambatan’ yang memperkenalkan pelabur kepada syarikat terbabit.

Pada sidang media di Pejabat Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) di sini Mahadi menjelaskan, peranannya hanyalah sebagai wakil memperkenalkan peluang pelaburan berdasarkan maklumat serta jaminan yang diberikan oleh pihak syarikat.

“Segala urusan pelaburan termasuk pembayaran dan penyerahan dokumen dilakukan secara langsung antara pelabur dan syarikat. Saya tidak pernah memegang wang pelabur atau terlibat dalam urusan kewangan mereka.

“Saya bukan pengasas bukan pemilik syarikat dan bukan orang yang mengumpul duit. Saya hanyalah perantara jambatan yang menyambungkan pelabur kepada syarikat yang saya sendiri percaya pada waktu itu,” katanya.

Mahadi turut mendedahkan beliau sendiri melabur lebih RM20.7 juta dalam dua entiti berkaitan antara tahun 2021 hingga 2023.

Menurutnya, pelaburan itu dibuat berdasarkan keyakinan terhadap struktur dan dokumentasi yang kelihatan sah dan meyakinkan ketika itu.

“Kami diberi taklimat oleh pihak syarikat, lengkap dengan surat perjanjian, pengesahan penasihat syariah dan semua dokumen yang nampak teratur.

“Kalau tidak, saya sendiri tidak akan berani melabur sebanyak itu,” tambahnya.

Walaupun tidak memegang dana pelabur, Mahadi mengakui menanggung beban rasa bersalah kerana telah memperkenalkan skim tersebut kepada ramai individu termasuk rakan dan kenalan rapat yang kini turut menjadi mangsa.

“Saya rasa sangat bersalah. Ramai kenal saya dan percaya kepada saya. Saya pula percaya kepada syarikat itu tapi akhirnya saya pun terkena,” ujarnya kesal.

Beliau turut memaklumkan dirinya telah membuat laporan polis dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan.

Namun Mahadi juga kini berdepan dengan tekanan persepsi awam yang mengaitkannya sebagai penipu.

“Saya jaga nama saya selama ini. Hari ini saya dikecam, dihukum di media sosial. Tapi saya tidak akan lari. Saya akan terus beri kerjasama dan bantu pelabur dapatkan keadilan,” tegasnya.

Tambah Mahadi, apa yang paling meruntun hati ialah apabila para pelabur datang mengadu dalam keadaan menangis termasuk golongan pesara, ibu tunggal dan individu yang menggunakan wang simpanan terakhir mereka.

“Mereka datang kerana mereka kenal saya. Itu yang paling berat untuk saya tanggung. Saya sendiri pun belum dapat balik duit saya.

“Tapi saya janji, saya akan berjuang bersama mereka,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast