Seekor gajah betina tidak berganjak selepas anaknya maut digilis lori dalam kejadian awal pagi tadi di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli. Foto IHSAN PERHILITAN.

KUALA LUMPUR – Pihak berwajib menggesa pihak berkuasa untuk segera memperbaiki keadaan pencahayaan di Lebuhraya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli, selepas insiden tragik pada awal pagi Sabtu yang melibatkan seekor anak gajah yang maut dilanggar lori.

Menurut Presiden Wakaf Pulau Besar Malaysia (MGIM), Omar Mohd Esa, yang juga dikenali dengan gelaran ‘Abang Highway’ di media sosial kerana sering membangkitkan isu keselamatan jalan raya, menyatakan bahawa kejadian ini merupakan amaran serius bagi pihak berkuasa untuk menangani masalah pencahayaan di jalan raya yang berisiko tinggi.

“Kemalangan ini membuktikan betapa pentingnya pencahayaan yang mencukupi di jalan raya. Saya sudah cakap berkali-kali isu ini.

“Jalan yang gelap bukan sahaja mengancam nyawa haiwan, tetapi juga boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, termasuklah nyawa manusia,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Presiden MGIM, Omar Mohd ESA

Omar berkata kemalangan meruntun hati seluruh rakyat Malaysia berlaku di kawasan yang tidak mempunyai pencahayaan yang mencukupi, menyebabkan kemalangan itu tidak dapat dielakkan.

Lebih menyedihkan, seekor ibu gajah dilihat berdiri di sisi anaknya yang telah meninggal dunia, menggambarkan kesedihan yang mendalam.

Dalam pada itu, Omar turut menegaskan bahawa pihak berkuasa perlu segera bertindak untuk memastikan keselamatan di jalan raya dengan cara memasang lampu jalan yang lebih baik dan memperbanyakkan penanda amaran.

“Jangan biarkan kejadian seperti ini berulang. Setiap nyawa, baik haiwan atau manusia, mesti dihargai.

“Saya menyeru agar pihak berkuasa segera memperbaiki pencahayaan di kawasan berisiko tinggi seperti ini dan menggunakan teknologi pemantauan serta sistem amaran awal untuk melindungi semua pengguna jalan raya,” tegasnya. -MalaysiaGazette

Ibu gajah tidak berganjak lihat anak mati digilis lori

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here