KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Rusia bermula 13 hingga 16 Mei ini atas undangan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Lawatan empat hari itu akan merangkumi kunjungan ke beberapa lokasi utama iaitu Moscow dan Kazan, Tatarstan.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, Anwar akan memulakan program rasmi di Moscow dari 13 hingga 15 Mei, sebelum ke Kazan pada 15 dan 16 Mei.
“Di Moscow, YAB Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan di Moscow State Institute of International Relations University (MGIMO).
“Seterusnya, satu pertemuan dengan ahli perniagaan Rusia serta komuniti diaspora Malaysia akan turut diadakan dalam kunjungan itu,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Lawatan Anwar ke Kazan pula atas jemputan Rais Tatarstan, Rustam Minnikhanov, di mana beliau akan menyertai Forum Ekonomi Antarabangsa Kazan (KazanForum) ke-16.
“Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama pada sesi plenari forum tersebut yang dijadual berlangsung pada 16 Mei serta berucap dalam Mesyuarat Strategic Vision Group.
“Beliau juga akan mengadakan pertemuan rasmi dengan Rustam semasa berada di Kazan,” tambahnya. – MalaysiaGazette