JOHOR BAHRU – Seorang pemuda yang dipercayai merupakan penyanyi kumpulan muzik skinhead, dibelasah beramai-ramai di sebuah pusat beli-belah di bandar bandaraya ini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku pada pukul 10.30 malam.
“Setakat ini tiada laporan polis diterima daripada mangsa. Namun pihak polis akan melakukan siasatan berhubung perkara berkenaan serta mengenali individu-individu yang terlibat.
“Sebaik menerima maklumat kejadian, polis telah membuat laporan dan memulakan siasatan.
“Siasatan akan dijalankan berdasarkan kepada rakaman video yang tular berhubung kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Terdahulu tular dua video yang memaparkan insiden tersebut yang berlaku dipercayai di kawasan luar tandas pusat beli-belah tersebut.
Video pertama dalam tempoh 59 saat dan video kedua dalam 58 saat itu memaparkan sekumpulan lelaki botak iaitu pengikut skinhead membelasah seorang lelaki.
Mengulas lanjut, Raub meminta mangsa atau saksi untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.
Kes itu katanya, disiasat bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM).- MalaysiaGazette