Seorang warga emas cedera ringan di bahagian muka selepas sebuah rumah panjang yang didiaminya bersama 89 penghuni lain musnah dalam kebakaran di Bintulu, Sarawak malam tadi. Ihsan Foto : Media Sosial

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas cedera ringan di bahagian muka selepas sebuah rumah panjang yang didiaminya bersama 89 penghuni lain musnah dalam kebakaran di Bintulu, Sarawak malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 10.40 malam sebelum mengerahkan 10 anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu ke lokasi kejadian.

Kebakaran dikatakan berlaku di sebuah rumah panjang yang terletak kira-kira 45 kilometer dari Bandar Bintulu.

“Sebaik tiba di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan rumah panjang anggaran 12 pintu yang telah terbakar sepenuhnya.

“Anggota operasi juga terpaksa menggunakan perahu untuk membawa peralatan pemadaman kerana lokasi rumah panjang terletak di seberang Sungai Sebauh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan sumber air terbuka dari Sungai Sebauh.

Dalam kejadian itu juga, seorang lelaki berusia 69 tahun turut dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian muka.

Walau bagaimanapun, dia telah dihantar ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.

Setakat ini, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here