JOHOR BAHRU – Kira-kira 10,000 pesara kerajaan bakal menyertai Perhimpunan Aman Sejahtera bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Mei ini.
Presiden Persatuan Pesara Pegawai Pendidikan Malaysia, Datuk Jemale Paiman berkata, perhimpunan aman tersebut bukan bertujuan membelakangkan kerajaan hari ini sebaliknya menyatakan solidariti sesama pesara kakitangan awam.
“Perhimpunan yang dijadualkan bermula pada pukul 8 pagi itu juga telah mendapat kebenaran untuk berhimpun daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Tujuannya bagi mendesak kerajaan menyelesaikan pembayaran pelarasan pencen dalam tempoh tiga bulan. Perhimpunan ini sebagai menghormati keputusan ditetapkan mahkamah berhubung perkara tersebut pada Januari lalu.
“Perhimpunan itu akan dihadiri pesara kerajaan daripada pelbagai jabatan yang telah berkhidmat lebih separuh hayat mereka kepada kerajaan Malaysia,” katanya ditemui pemberita di sini hari ini.
Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan pelarasan bayaran pencen perlu dilakukan berdasarkan gaji akhir pesara mengikut Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2016 berkuat kuasa mulai Januari 2022.
Mengulas lanjut, Jemale berkata, keputusan mahkamah perlu dihormati sebagai mengenang jasa pesara kerajaan selama ini.
“Atas jasa dan perkhidmatan mereka, Malaysia dikenali di seluruh dunia khususnya di negara-negara Islam. Jadi seharusnya keputusan mahkamah dihormati sebagai mengenang jasa pesara kerajaan selama ini,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga akan menyerahkan memorandum bagi mewakili hasrat lebih 900,000 pesara kerajaan yang semakin berusia lanjut ketika ini.
Selain itu, kata Jemale, pihaknya yang mewakili golongan pesara juga menyeru agar kerajaan mengekalkan sistem pencen dalam lantikan penjawat awam secara tetap seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan Malaysia.
“Kami kurang bersetuju dengan keputusan kerajaan membuat lantikan tidak tetap iaitu secara kontrak atau lantikan sementara,” katanya.- MalaysiaGazette