JOHOR BAHRU – Sebanyak 130 laporan berhubung kes penipuan membabitkan sebuah syarikat penjagaan kesihatan, 38 Speed Relax & Wellness diterima polis di Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan polis itu sejak awal bulan ini membabitkan kerugian lebih RM600,000.
“Kita sahkan ada menerima laporan daripada mangsa-mangsa yang mendakwa ditipu oleh syarikat penjagaan kesihatan itu.
“Setakat ini, sebanyak 130 laporan polis diterima di Kontinjen Johor sejak awal Mei ini dengan 2025 jumlah kerugian dilaporkan sebanyak RM698,155.67,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata, siasatan awal mendapati mangsa ditawarkan pakej rawatan dengan kadar bayaran dikenakan bergantung bilangan rawatan yang dipilih.
Rawatan itu juga, katanya, boleh dibuat di mana-mana cawangan di seluruh Malaysia pada bila-bila masa.
Menurutnya, mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal menghubungi syarikat penjagaan kesihatan berkenaan untuk menetapkan tarikh temujanji.
“Mangsa mendapati syarikat berkenaan telah pun memberhentikan operasinya di semua cawangan tanpa sebarang pemakluman,” jelasnya.
Kumar berkata, siasatan lanjut kes masih dibuat di bawah kesalahan tipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Semalam dilaporkan lebih 1,000 pelanggan pusat penjagaan kesihatan itu menuntut penjelasan selepas mendakwa mengalami kerugian akibat pusat berkenaan menutup operasi mereka secara tiba-tiba tanpa sebarang notis.
Tindakan syarikat yang mempunyai 28 cawangan di lima negeri termasuk Johor itu menyebabkan pelanggan terbabit yang sudah membuat pembayaran penuh bagi pakej-pakej rawatan yang dipilih gagal menerima perkhidmatan itu.
Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Pemuda MCA, Heng Zhi Li dilaporkan berkata, ada pelanggan yang menandatangani pakej berjumlah antara RM2,400 hingga RM10,000 dengan bayaran bulanan antara RM288 hingga RM388.
Beliau yang juga Ketua Pemuda MCA Johor dilaporkan berkata, mangsa tertarik dengan perkhidmatan ditawarkan kerana pakej dijanjikan tidak mempunyai tarikh luput dan boleh dikongsi dengan pengguna lain.- MalaysiaGazette