KUALA LUMPUR – Sebanyak 99,601 kes penyakit tangan, kaki, dan mulut (HFMD) di seluruh negara sehingga Minggu Epidemiologi ke-17 tahun 2025 (ME 17/2025) dilaporkan berbanding 27,236 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu, peningkatan sebanyak 266 peratus.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10,421 kes (10 peratus) adalah berkaitan wabak, manakala 89,180 kes (90 peratus) merupakan kes yang berlaku secara sporadik.
Lima negeri yang mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu Selangor dengan 27,118 kes (27.2 peratus) diikuti Johor dengan 9,864 kes (9.9 peratus), Perak dengan 9,347 kes (9.4 peratus), Kelantan dengan 7,147 kes (7.2 peratus) serta Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 6,850 kes (6.9 peratus).
Kementerian Kesihatan berkata, secara kumulatif, terdapat 2,649 wabak berbanding 1,339 wabak bagi tempoh yang sama pada tahun 2024 iaitu peningkatan sebanyak 49 peratus.
Daripada keseluruhan wabak ini, sebanyak 578 berlaku di taska (22 peratus), 480 di tadika (18 peratus), 292 di tabika (11 peratus), dan 251 di pra-sekolah (9 peratus). Setakat ini, tiada kematian berkaitan HFMD dilaporkan.
Sebanyak 38,285 premis telah diperiksa di seluruh negara melibatkan taska, tadika, tabika, pra-sekolah dan rumah kediaman, menurutntya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,140 (3 peratus) premis telah diarahkan tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], manakala 430 (1 peratus) premis lagi ditutup secara sukarela.
Di samping itu, sebanyak 220 sesi townhall dan taklimat telah dilaksanakan di seluruh negara oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk memberi pendidikan kesihatan bagi membendung penularan HFMD.
“Ibu bapa dan penjaga disaran mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti mencuci tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas, serta memastikan permainan, bilik air, dan barangan yang kerap disentuh dibersihkan secara berkala menggunakan sabun, air, atau cecair disinfeksi.
“Barangan peribadi seperti cawan, tuala, dan berus gigi tidak boleh dikongsi. Kanak-kanak bergejala perlu segera mendapatkan rawatan dan dilarang menghadiri pusat jagaan atau tempat awam untuk mengelakkan penularan jangkitan HFMD,” katanya. – MalaysiaGazette