Datuk Afdlin Shauki

KUALA LUMPUR – Ketua Cabang Parti Keadlilan Rakyat (PKR) Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki tampil memberikan respons terhadap kenyataan terbuka Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang secara berseloroh menyebut beliau sebagai “pelawak profesional”.

Menerusi kenyataan, Afdlin menzahirkan penghormatannya terhadap Rafizi yang juga Menteri Ekonomi sebagai tokoh strategik dan reformis serta banyak berjasa kepada perjuangan parti.

Bagaimanapun, beliau meluahkan rasa kesal terhadap kenyataan yang dianggap boleh menjejaskan persepsi terhadap mandat yang diperoleh daripada akar umbi.

“Saya tidak malu digelar pelawak. Ia sebahagian daripada identiti saya sebagai anak seni, pengarah, penulis, penerbit dan aktivis. Tetapi apabila label itu digunakan dalam konteks mempertikai kelayakan dan mandat saya, ia membawa maksud berbeza,” kata Afdlin.

Menurutnya, sumbangannya dalam dunia seni selama lebih tiga dekad bukan sekadar hiburan, malah membentuk jiwa masyarakat dan menyuarakan kebenaran dalam bentuk yang jujur.

Beliau menegaskan, bahawa penglibatannya dalam politik bermula bukan ketika parti berada di puncak kuasa, tetapi sewaktu PKR berhadapan kekalahan selepas episod hitam Langkah Sheraton.

“Saya tidak datang ketika peluang terbuka luas. Saya hadir ketika parti luka dan ramai menjauh. Saya memilih untuk berjuang walau dari gelanggang asing — dunia seni,” ujarnya.

Afdlin turut membidas tanggapan bahawa kemenangannya adalah bersifat peribadi.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa seluruh barisan kepimpinan Cabang Setiawangsa turut memperoleh mandat, membuktikan bahawa ahli akar umbi mahukan perubahan serta kepimpinan yang berjiwa rakyat.

“Ini bukan kemenangan saya semata-mata, ini suara kolektif yang menuntut nafas baharu. Politik tanpa kemanusiaan hanyalah pengurusan kuasa yang kering,” katanya.

Dalam pada itu, Afdlin menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk Rafizi demi memperkukuh parti.

Namun beliau menegaskan, bahawa dia tidak akan berdiam diri sekiranya integriti dan suara akar umbi cuba diperkecilkan.

“Jika benar kita mahu KEADILAN terus relevan, maka raikanlah perbezaan, bukan memperlekehkannya. Parti ini mesti dilihat sebagai rumah perjuangan yang terbuka kepada semua latar belakang, termasuk golongan seni dan profesional,” katanya lagi.

Afdlin turut menzahirkan komitmen untuk terus berjuang membawa nilai kemanusiaan dalam politik, dan menjadi jambatan antara dunia seni dengan pentadbiran yang lebih prihatin terhadap denyut nadi rakyat.

“Saya hadir bukan untuk glamor, tetapi untuk menyumbang. Saya pelawak, tetapi bukan mainan politik,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here