MELAKA – Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, di sini, hari ini atas pertuduhan mendera anak kandung mereka, bayi lelaki berusia dua bulan di sebuah rumah, dua minggu lalu.
Tertuduh, Nur Khairunnisa Jusni dan suaminya, Muhamad Nor Azim Abdullah masing-masing berusia 22 tahun bagaimanapun tidak mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca secara bersama di hadapan Hakim Aiza Khairuddin.
Terdahulu, selepas dibacakan pertuduhan, Nur Khairunnisa menafikan melakukan perbuatan itu, sebaliknya mendakwa anaknya terjatuh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu ibu bapa kepada seorang bayi lelaki berusia dua bulan telah mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan.
Perbuatan itu dilakukan di alamat sebuah rumah di Taman Seri Pelangi, daerah Alor Gajah, Melaka antara 2 Mei hingga 5 Mei 2025.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Seksyen 31(1)(a) menggariskan kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain, tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan serius dilakukan terhadap anak kandung pasangan itu yang baru berusia dua bulan.
Namun hujahnya, kuasa jaminan adalah tertakluk kepada budi bicara mahkamah dan menyerahkan keputusan itu kepada hakim.
Tertuduh yang diwakili peguam Mohammed Hissham Ramdzan memohon pasangan itu diberikan jaminan kerana ia adalah tuduhan pertama terhadap kedua-duanya yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Nur Khairunnisa juga hujahnya, baru lepas berpantang dan tidak bekerja, selain suaminya hanya seorang operator kilang kereta berpendapatan bulanan RM1,800.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain dikenakan syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Hakim Aiza menetapkan tarikh 12 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Pada 7 Mei lalu, media melaporkan Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka membenarkan ibu bapa bayi berkenaan direman tujuh hari selepas anak tunggal pasangan itu mengalami pendarahan dalam kepala, luka dan lebam disyaki didera mereka yang tidak bekerja.
Kejadian terbongkar selepas ibu mangsa berusia 22 tahun menghantar anaknya itu ke Hospital Alor Gajah pada malam 5 Mei lalu dalam keadaan tidak sedarkan diri kononnya diserang sawan.
Mangsa bagaimanapun terpaksa dirujuk ke Hospital Melaka dan hasil imbasan CT yang dilakukan doktor pakar mendapati kesan lebam, luka di badan dan leher serta pendarahan lama dan baharu dalam kepala bayi terbabit.
Doktor kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki mangsa didera sebelum polis menahan kedua-dua suspek berusia 22 tahun di Hospital Melaka, 6 Mei lalu. – MalaysiaGazette