KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kemalangan jalan raya yang meragut nyawa anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, pagi tadi.
Menurut beliau, siasatan terperinci amat penting bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, selain memastikan langkah keselamatan yang lebih baik dapat diambil pada masa akan datang.
“Pihak berkuasa diseru untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh serta menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar turut menzahirkan rasa dukacita atas insiden tersebut yang melibatkan pengorbanan anggota keselamatan ketika menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada negara.
“Salam takziah diucapkan kepada keluarga anggota-anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Teluk Intan, pagi tadi,” ujarnya.
Beliau juga mendoakan agar semua yang cedera dalam insiden tersebut segera diberi kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan mereka.
Dalam pada itu, beliau berharap seluruh rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan kesejahteraan anggota keselamatan yang terlibat, sebagai tanda solidariti kepada mereka yang banyak berbakti kepada negara.
Insiden kemalangan tersebut difahamkan berlaku ketika konvoi anggota FRU sedang dalam perjalanan menjalankan tugasan rasmi.
Awal pagi tadi, lapan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) maut dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon, berkata nahas membabitkan sebuah lori membawa muatan batu dan sebuah trak FRU yang membawa 15 anggota termasuk pemandu. – MalaysiaGazette