INDUSTRI buluh di Malaysia mempunyai potensi besar sebagai salah satu sumber ekonomi baharu negara, namun usaha pelaksanaannya masih berada pada peringkat awal dan berhadapan dengan pelbagai cabaran teknikal serta struktur.
Menurut Country Report on Bamboo Resources 2005, sebanyak 67 spesies buluh telah
dikenal pasti di Malaysia, menjadikan tumbuhan ini sebagai sumber yang berpotensi untuk dikembangkan secara komersial. Selain fungsi hiasan, buluh mempunyai nilai guna tinggi dalam sektor pembinaan, pertanian, makanan, kraftangan, serta pemuliharaan alam sekitar.
Pensyarah Jabatan Sains Perhutanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti
Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Prof. Madya Dr. Ong Kian Huat berkata,
penggunaan buluh dalam kehidupan manusia telah direkodkan sejak lebih 4,000 tahun lalu, khususnya dalam pembinaan asas, sistem saliran dan pembuatan peralatan harian.
Dalam konteks moden, penggunaan buluh boleh dibahagikan kepada dua dimensi utama,
iaitu sosio-ekonomi dan persekitaran. Dari segi sosio-ekonomi, buluh digunakan dalam
pembuatan bahan binaan, pulpa dan kertas, makanan seperti rebung, serta penghasilan
perabot dan produk kraf.
Dari sudut persekitaran, penanaman buluh berperanan dalam penyimpanan
karbon, pengawalan hakisan tanah, pemuliharaan biodiversiti serta menyumbang kepada
aktiviti ekopelancongan.
“Walaupun buluh tergolong dalam keluarga rumput dan padi yang secara relatif mudah
ditanam, pelaksanaannya dalam skala besar berdepan dengan beberapa isu, antaranya
serangan penyakit, ancaman serangga perosak dan gangguan daripada haiwan rumina,”
katanya.
Prof. Madya Dr. Ong berkata, amalan agronomi bagi penanaman buluh masih
bergantung kepada rujukan antarabangsa seperti yang dikeluarkan oleh International
Bamboo and Rattan Organization (INBAR), tanpa garis panduan khusus bagi persekitaran
tempatan yang mungkin menghadapi cabaran berbeza.
Panduan yang lebih bersifat lokal diperlukan bagi memastikan kejayaan penanaman buluh
secara komersial.
Usaha pembangunan industri buluh telah dimulakan sejak tahun 2007
menerusi Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH), dan diteruskan di bawah
Rancangan Malaysia Ke-12 (2021–2025) menerusi Program Pembangunan Community
Farming Buluh yang menawarkan sokongan kepada individu, koperasi, pertubuhan dan
syarikat.
Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) pula telah membangunkan Pelan Tindakan
Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021–2030 yang memberi fokus kepada lima teras
strategik utama bagi mempercepat pertumbuhan industri buluh negara.
Di Sarawak, pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Industri Buluh Sarawak 2020–2023
memperlihatkan pendekatan lebih holistik dengan lapan hala tuju pembangunan,
merangkumi pengeluaran arang buluh, produk kejuruteraan buluh, penghasilan makanan
berasaskan buluh serta produk kraftangan.
Berdasarkan perancangan tersebut, industri buluh di Sarawak dijangka mampu menjana
pendapatan eksport sehingga RM200 juta menjelang tahun 2030.
Dr. Ong berkata, meskipun buluh dilihat berpotensi sebagai tanaman alternatif,
ia masih belum mampu menggantikan kelapa sawit sebagai komoditi utama negara.
Bekas Menteri Industri Utama, Teresa Kok, pada 14 Julai 2020 menjelaskan bahawa buluh tidak akan dijadikan komoditi utama menggantikan sawit, memandangkan sumbangan besar kelapa sawit terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor agrikomoditi, melebihi 50 peratus.
Industri kelapa sawit mempunyai rantaian bekalan dan pasaran yang mantap hasil
pembangunan selama lebih lima dekad. Sebaliknya, industri buluh masih di peringkat asas dan memerlukan masa serta sokongan menyeluruh untuk berkembang.
Dengan pelaksanaan pelan tindakan yang menyeluruh, sokongan dasar yang berterusan
dan penyelarasan strategik antara agensi, industri buluh berpotensi untuk menyumbang
kepada kepelbagaian sumber pendapatan negara dan menjadi salah satu elemen penting
dalam memperkukuh sektor agrikomoditi nasional.
Noor Eszereen Juferi
UPM