Gambar hiasan

KUALA SELANGOR – Cadangan pengharaman penjualan rokok elektronik atau vape di Selangor, akan dibentangkan dan dibincangkan dengan lebih teliti pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan datang, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin telah diarahkan untuk berbuat demikian, susulan mesyuarat bersepadu yang dijalankan bersama agensi terlibat sebelum ini.

“Saya telah arahkan untuk satu kertas dibuat dan dibentangkan kepada MMKN untuk kita pertimbangkan, kerana sebarang keputusan oleh kerajaan negeri harus dibuat secara menyeluruh dengan melihat semua aspek supaya ia dapat memberi jaminan kepada kesihatan generasi masa kini dan masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan Pakej C di sini hari ini.

Sebelum ini, Jamaliah dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat bersepadu bersama Pejabat Menteri Besar itu melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Jamaliah berkata mesyuarat itu, diadakan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh dari aspek penguatkuasaan, perundangan dan kesan terhadap sosioekonomi berkaitan penjualan vape.

Pada 24 April, media melaporkan kerajaan Terengganu akan menguatkuasakan larangan penjualan produk rokok elektronik di semua premis di negeri berkenaan bermula 1 Ogos.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here