GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerjasama menyeluruh antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat dan sektor swasta dalam usaha melindungi laluan burung hijrah yang melalui negara ini.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, Malaysia merupakan salah satu lokasi penting dalam laluan migrasi burung di rantau ini, iaitu Laluan Terbang Asia Timur-Australasia, yang menjadi antara laluan utama burung hijrah di dunia.
“Negara kita menjadi lokasi persinggahan kepada lebih 50 juta burung air daripada lebih 250 populasi berbeza.
“Haiwan berkenaan menjadikan tanah lembap, paya bakau, kawasan berhutan serta dataran lumpur di Malaysia sebagai tempat berehat dan mendapatkan makanan sebelum meneruskan perjalanan antara tempat pembiakan di utara seperti Siberia dan China, serta kawasan bukan pembiakan di selatan termasuk Australia dan Indonesia,” katanya hari ini.
Menurut beliau, laporan terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memetik data daripada Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) mendedahkan bahawa sebanyak 44 peratus spesies burung hijrah di seluruh dunia menunjukkan trend penurunan, dengan satu daripada setiap lima spesies kini berdepan ancaman kepupusan.
Walaupun Malaysia telah mewartakan beberapa kawasan sebagai Tapak Ramsar seperti di Tanjung Piai dan Pulau Kukup di Johor, Mohideen menegaskan bahawa aspek penguatkuasaan dan perancangan pembangunan mampan perlu ditingkatkan.
“Di Malaysia, kawasan seperti Kuala Gula (Perak), Tanjung Tuan (Negeri Sembilan dan Melaka) serta Kuala Selangor menjadi lokasi tumpuan utama burung-burung ini yang bergantung kepada habitat pesisir pantai seperti paya bakau dan tanah lembap untuk meneruskan migrasi yang mencabar.
“Antara faktor utama yang mengancam kelangsungan burung hijrah ialah pembangunan pesat, aktiviti menambak laut, industri akuakultur, pencemaran serta kesan perubahan iklim yang mengakibatkan kemusnahan habitat semula jadi.
“Pencemaran cahaya dari bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur turut memberi kesan kepada orientasi burung pada waktu malam, manakala pengeringan kawasan lembap menyukarkan mereka mendapatkan sumber makanan dan tempat rehat,” katanya.
Mohideen turut memberi amaran tentang nasib spesies burung hijrah yang kini diambang kepupusan seperti Nordmann’s Greenshank dengan populasi kurang daripada 1,000 ekor di dunia; Spoon-billed Sandpiper yang hanya tinggal beberapa ratus ekor; serta Siberian (Snow) Crane, salah satu burung hijrah paling jarang ditemui di dunia.
“Spesies-spesies ini amat terdedah kepada gangguan habitat. Tanpa tindakan segera, jumlahnya akan terus berkurangan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohideen memaklumkan bahawa badan seperti Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan CAP terus memainkan peranan dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan pemuliharaan burung, antaranya melalui program seperti ‘Raptor Watch’ di Tanjung Tuan sempena sambutan Hari Burung Hijrah Sedunia (WMBD) 2025.
Katanya, kerjasama dengan rakan antarabangsa menerusi Perkongsian Laluan Terbang Asia Timur-Australasia turut menunjukkan kemajuan, namun tindakan tempatan masih diperlukan untuk menangani ancaman yang wujud.
“Berdasarkan laporan BirdLife State of the World’s Birds dan maklumat daripada IUCN, hampir separuh spesies burung global kini menunjukkan penurunan populasi, dan spesies hijrah antara yang paling terkesan.
“Maka, tanggungjawab kita amat besar. Masa depan burung-burung ini terletak pada komitmen kita untuk melindungi habitat, menjalankan penyelidikan berterusan, serta memperkasakan kesedaran awam,” katanya.