KUALA LUMPUR – Dua pelajar warganegara China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba menipu ibu salah seorang daripada mereka bagi mendapatkan wang tebusan melalui penculikan palsu.
Zhang Runbao, 23, dan Ye Yingxi, 18, masing-masing menuntut di sebuah universiti di Singapura didakwa bersama-sama cuba menipu ibu Yingxi sebanyak ¥5 juta (anggaran RM2.9 juta) dengan cara membuat panggilan dan menghantar video.
Video tersebut memaparkan tertuduh dalam keadaan separuh bogel, mulut ditutup dan dicekik, badannya dipijak serta mukanya dituang dengan air bertujuan menuntut wang tebusan serta memasukkannya ke dalam satu akaun di China.
Menurut pertuduhan, perbuatan itu hanya lakonan sehingga mendorong wanita tersebut mula mengambil langkah mahu menyerahkan wang tebusan seperti yang diminta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara pukul 11.44 pagi dan 9.15 malam, 2 Mei lalu di sebuah hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.
Mereka didakwa cuba menipu ibu Yingxi mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama dan juga Seksyen 34.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara satu hingga 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda.
Bagi Seksyen 511 kanun itu, ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih daripada separuh tempoh diperuntukkan bagi kesalahan di bawah Seksyen 420.
Mereka juga berdepan tuduhan pilihan kerana menipu dengan cara yang serupa pada masa dan tempat yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Azrul Darus membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin serta memerintahkan supaya pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 27 Mei ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Radzuan manakala Rungbao dan Yingxi diwakili peguam Ernie Sulastri Ahmad dan Ramesh Sivakumar. – MalaysiaGazette