Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Nilai eksport lada negara bagi tahun 2024 telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan iaitu sebanyak 24% kepada RM186.67 juta berbanding dengan nilai RM149.97 juta pada tahun sebelumnya.

Menurut Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, permintaan terhadap lada Malaysia terus kekal tinggi kerana faktor kualiti terutamanya kadar kandungan racun makhluk perosak yang rendah serta aroma tersendiri yang memacu permintaan tinggi di pasaran terutamanya negara Jepun, Korea, China dan negara Eropah.

“Kebolehupayaan lada Malaysia bersaing di pasaran dunia bukan hanya terletak pada kuantiti pengeluaran, tetapi lebih penting lagi, pada kualiti dan penghasilan nilai tambah kepada lada dan produk lada,” katanya semasa Program Lawatan Kerja Industri Agrikomoditi Lada di Rumah Thomas, Nanga Sekedang, Entabai, Julau hari ini.

Lantaran itu, Foong Hin menyeru Lembaga Lada Malaysia (MPB) supaya terus memperkukuhkan jaringan kerjasama dengan penggiat industri lada bagi membawa sektor lada negara ke tahap yang lebih tinggi dan mampan.

Beliau berkata, komitmen MPB dalam membangunkan industri lada negara dibuat melalui program outreach yang kerap membantu pekebun melalui program peluasan kawasan tanaman lada dan penyelenggaraan tanaman lada matang sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).

MPB berharap melalui pendekatan ini dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pekebun dalam mengusahakan tanaman lada dengan lebih berkesan.

Bagi menambahbaik sistem logistik dan memudahkan akses kepada kawasan kebun lada, tambahan dua Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) telah diluluskan untuk kawasan Julau pada tahun ini yang melibatkan Rumah Panjang Sang di Rantau Chire dan Rumah
Panjang Guntol di Bekiok, Merurun dengan peruntukkan sebanyak RM600,000.

Terdahulu, Foong Hin telah menyerahkan Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) Lada Rumah Sang, Nanga Sekedang, Entabai, Julau sepanjang 1.5 kilometer yang telah siap dibina pada Disember 2024 secara simbolik dengan kos penyiapan berjumlah
RM209,540.

Dalam majlis yang sama, beliau turut menyerahkan simbolik bantuan Skim Tanaman Lada Matang kepada pekebun – pekebun lada yang berkelayakan.

Bantuan tersebut berupa baja sebatian, dolomite dan racun pertanian yang bernilai RM280,000.

Seramai 6,980 orang pekebun lada kawasan Julau dengan keluasan tanaman 2,138 hektar telah berdaftar di bawah Sistem E-Pekebun MPB sehingga tahun 2024.

Dalam perkembangan lain, pihak MPB selaku penganjur program lawatan tersebut terus komited memberi fokus kepada aspek kemampanan dan peningkatan produktiviti bagi sektor huluan, pertengahan dan hiliran lada yang terangkum menerusi pelbagai program
komprehensif serta mewujudkan jalinan kerjasama kukuh dengan pelbagai pihak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here