Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN Mei 2025 di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 MEI 2025

PUTRAJAYA – Usaha menutup pangkalan haram dan laluan tikus di sempadan Malaysia-Thailand mula menunjukkan hasil apabila jumlah penagih dan penyalahgunaan dadah di seluruh negara merekodkan penurunan ketara pada suku pertama tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, statistik terbaharu sehingga Mac lalu menunjukkan seramai 108,409 individu dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang, menurun 10.5 peratus berbanding 121,170 kesdalam tempoh sama pada tahun lalu.

“Penurunan ini sangat ketara, dan antara faktor utamanya ialah kejayaan kita menutup pangkalan haram serta laluan tikus di Kelantan. Langkah itu secara langsung menyekat kemasukan dadah dari sempadan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Menurut beliau, Kelantan dikenal pasti sebagai salah satu negeri penyumbang utama kepada angka kes sebelum ini.

Selain kawalan sempadan, penurunan tersebut turut disumbang oleh pelaksanaan operasi penguatkuasaan berterusan serta program kesedaran awam yang diperhebatkan sejak awal tahun ini.

“Kita tidak hanya bergantung kepada tindakan keras, tetapi juga mendidik masyarakat mengenai bahaya dadah melalui pelbagai platform dan kerjasama dengan agensi berkaitan,” ujarnya.

Penurunan ini dilihat sebagai petunjuk awal keberkesanan pendekatan menyeluruh yang digerakkan kerajaan dalam usaha membanteras gejala penagihan dadah yang telah lama menjadi cabaran utama negara.

“Maklumat yang kita analisis memberikan lima daerah yang paling tinggi kes-kes penyalahgunaan dadah nombor satu Pendang, diikuti Kuala Krai, kemudian Pasir Puteh, kemudian Tanah Merah misalnya,” katanya lagi.

Bagi statistik daerah pula menyaksikan Pendang, Kedah mencatatkan kes paling tinggi iaitu seramai 1,798 orang diikuti Kuala Krai, Kelantan (1,442orang) manakala Bachok, Kelantan pula seramai 1,315 orang.

Untuk rekod, pada tahun 2022 mencatatkan seramai 137,176 orang meningkat kepada 145,526 orang pada tahun 2023.

Pada tahun 2024 pula, statistik menyaksikan kes penyalah guna dan penagih dadah serta bahan meningkat sebanyak 32.5 peratus menjadikan angka sebanyak 192,857 orang.

Daripada jumlah itu, mereka yang paling ramai terlibat adalah dalam lingkungan usia 15 hingga 39 tahun iaitu seramai 117,478 atau 60.9 peratus.

Saifuddin Nasution berkata, statistik penyalah guna dan penagih dadah serta bahan mengikut jenis dadah pula menyaksikan dadah jenis amphetamine type stimulants (ATS) terdiri daripada methamphetamine (syabu), ecstacy dan amphetamine menjadi pilihan penagih dan penyalah guna dadah serta bahan dengan jumlah peningkatan sebanyak 34.4 peratus atau 139,909 kes berbanding tahun 2023.

Bagaimanapun dadah jenis ganja turut mengalami peningkatan ketara dengan jumlah 7,121 kes meningkat sebanyak 63.4% berbanding sebanyak 4,358 kes pada tahun 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here