KUALA LUMPUR – Sekretariat gabungan NGO Malaysia menyasarkan lebih 15,000 orang bakal menyertai Himpunan Melayu Berdaulat di hadapan perkarangan Kompleks Sogo, di sini, 24 Mei depan.
Pengerusinya, Syed Hassan Syed Ali berkata, himpunan besar yang dijadualkan bermula 2.30 petang itu bertujuan menyuarakan kepentingan orang Melayu -Islam yang didakwa beliau semakin terhakis sepanjang pemerintahan kerajaan Madani.
Tambahnya, himpunan itu bukan sahaja untuk mempertahankan hak majoriti orang Melayu-Islam malah turut melibatkan pelbagai kaum yang rasa tertekan dan tertindas.
“Kita sedia maklum kerajaan Madani kini membawa Malaysia tanpa arah tuju yang jelas dan ditambah dengan pelbagai masalah.
“Pada masa sama, kita lihat kerajaan juga tidak mampu tangani isu perkauman yang semakin menjadi-jadi sedangkan sebelum ini kita hidup harmoni sejak merdeka lagi,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Tambah Syed Hassan, pelbagai isu melibatkan orang Melayu-Islam akan dibangkitkan dalam himpunan itu antaranya bantahan cadangan Rang Undag-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (URA).
Selain itu, berhubung isu tanah rezab Melayu di Kampung Sungai Baru, Syed Hassan turut mendakwa terdapat pemimpin yang bersekongkol dengan pihak berpentingan seperti tauke bukan Melayu demi untuk mendapatkan habuan.
“Sebelum ini, Perdana Menteri orang Melayu tak perlu takut kerana mereka nak bersihkan tempat ini dan beliau juga pertikaikan ada orang nak tunggang isu ini sebab tidak mahu tengok orang Melayu hidup selesa, bersih dan cantik.
“Siapa kata tidak mahu tapi kita tahu masalah akan datang seperti apa yang akan berlaku ketika ini. URA bagi saya akan menghilangkan hak Melayu di banyak kawasan bandar, kalau masih lagi nak nafikan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh berdebat dengan wakil-wakil NGO.
“Begitu juga isu Menara Kuala Lumpur, BERNAS sudah disusun cantik dan dikawal oleh orang Melayu namun sekarang dibuka kepada banyak kaum, ditambah baru perintah berapa bulan dah hilang beras tempatan.
“Bukan itu sahaja, isu PUSPAKOM mahu diserahkan kepada kaum lain untuk penyelarasan, isu Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang menghentikan penghantaran pelajar ke Mesir dalam pengajian Islam, isu kalimah Allah dan banyak lagi.,” ujarnya.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia itu menambah, ketika ini seramai 700 NGO Melayu-Islam telah bersetuju untuk turut serta dan masa sama, Syed Hassan menyasarkan 1,000 NGO akan terlibat pada hari kejadian.
“Saya percaya jika Tun D Mahathir Mohammad sihat, beliau mungkin akan hadir cuma Tun dijadualkan akan berlepas ke Jepun pada hari yang sama,” uajrnya.
Sementara itu, Syed Hassan itu menegaskan ini bukan perhimpunan orang politik tetapi ini adalah himpunan orang Melayu-Islam dan rakyat yang rasa tertekan boleh hadir.
“Orang politik juga dijempur hadir tapi bukan atas tiket politik namun atas nama Melayu dan jangan ada pihak yang meragui kesungguhan kami mengadakan perhimpunan ini.
“Ada ramai juga pihak dikalangan kerajaan mendakwa seolah-olah kita tunggang isu agama dan Melayu, sedangkan apa yang kita bisingkan selama ini betul.
Dan ia berlaku, dah hilang dan bakal hilang (hak melayu). Mereka (kerajaan) kata kita tunggang ini(isu Melayu-Islam) semua, sebenarnya mereka sendiri yang tunggang isu agama dan Melayu ini. Nak burukkan Melayu dan Islam itu sendiri,” jelasnya.
Beliau juga memaklumkan menjelang himpunan itu, dua siri ceramah akan dianjurkan di dua lokasi pada 16 Mei dan 23 Mei masing-masing di Sungai Buloh dan Kampung Baru dengan menyasarkan seramai lima ribu orang akan dihadiri. – MalaysiaGazette