KUALA LUMPUR – Pengarah Strategik Keadilan Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad memberi peringatan kepada semua ahli PKR bahawa parti itu dibina atas asas perjuangan rakyat, bukan dendam peribadi mahupun perebutan kuasa yang memecahbelahkan perpaduan dalam parti.
Beliau yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi Pemilihan Keadilan 2025 menyeru semua calon, penyokong dan jentera parti agar mengamalkan kempen secara tertib, matang serta beretika, sejajar dengan nilai reformasi yang diperjuangkan sejak awal penubuhan parti.
“Kita harus belajar dari pengalaman lalu. Perpecahan hanya akan melemahkan parti. Fokuslah kepada apa yang mahu dilakukan jika diberi mandat, bukannya menyerang untuk menonjolkan diri,” katanya dalam kenyataan.
Saifuddin yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor berkata demikian susulan munculnya beberapa kempen yang mula menyentuh serangan bersifat peribadi, sekali gus dilihat menyimpang daripada tujuan sebenar pemilihan.
Beliau mengingatkan bahawa akar umbi sedang memerhati dengan teliti bukan sahaja janji-janji yang ditawarkan calon, malah keperibadian dan cara berkempen turut menjadi penilaian penting.
“Pemilihan ini bukan sekadar proses dalaman, ia mencerminkan wajah Keadilan kepada rakyat. Jangan biarkan kempen 14 hari ini merosakkan 26 tahun perjuangan reformasi,” katanya lagi.
Beliau menekankan bahawa semangat setiakawan perlu dipelihara dan dihormati, kerana selepas pemilihan, semua anggota tetap perlu bersama dalam satu saf perjuangan.
“Kita semua adalah anggota dalam satu rumah perjuangan. Jangan kerana perbezaan pilihan, kita menjadi renggang. Jangan kerana semangat, kita terlanjur kata.
“Dalam perjuangan politik, seperti dalam kehidupan, kita saling memerlukan,”ujarnya. -MalaysiaGazette