Ketua Cabang Keadilan Selayang, Chua Wei Kiat,

KUALA LUMPUR – Ketua Cabang Keadilan Selayang, Chua Wei Kiat menegaskan tidak wajar untuk mana-mana pihak memadam atau memperkecilkan peranan besar Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam kejayaan Pakatan Harapan (PH) merampas Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Wei Kiat yang juga Timbalan Ketua Penerangan Keadilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang berkata, Rafizi merupakan antara individu yang berani tampil ke hadapan memperkenalkan pendekatan baharu ketika landskap politik negara berada dalam keadaan sangat tidak menentu antara tahun 2015 hingga 2018.

“Ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim masih dipenjara, Pakatan Rakyat dibubarkan, PH baru sahaja ditubuhkan, Tun Mahathir Mohamad baru menyertai PH dan Datuk Seri Azmin Ali pula membawa pendirian bercanggah dengan Presiden.

“Dalam keadaan itu, Rafizi tampil membina kekuatan jentera melalui INVOKE, memperkenalkan strategi penggunaan data dalam kempen, dan mencadangkan untuk memutuskan kerjasama dengan PAS demi kemenangan.

“Walaupun pendekatan itu dipertikai ketika itu, namun terbukti ia menjadi strategi penting yang membawa kemenangan kepada PH dan KEADILAN memperoleh 50 kerusi Parlimen,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Wei Kiat turut memuat naik gambar Rafizi dan Anwar saling berpelukan selepas selepas kemenangan mereka sebelum ini.

Tambahnya, Rafizi juga menunjukkan keberanian apabila berkempen secara agresif mendedahkan isu 1Malaysia Development (1MDB)  sehingga akhirnya dijatuhi hukuman penjara 30 bulan, mengorbankan peluangnya untuk bertanding dalam PRU14.

“Pengorbanan beliau bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk memastikan kemenangan parti dan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ramai mungkin sudah lupa atau tidak tahu apa yang dilalui ketika itu. Namun sejarah tetap sejarah, ia tidak boleh dipadam semata-mata kerana hari ini kita berada dalam keadaan lebih selesa,” tegasnya.

Wei Kiat turut menegaskan bahawa perjuangan yang jujur tidak akan pernah lari dari kebenaran malah sejarah akan tetap menghargai mereka yang berani berdiri teguh demi prinsip ketika yang lain memilih untuk berdiam diri. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here