Pelakon dan pengacara popular, Janna Nick menafikan dakwaan kononnya dia menyindir pelakon Fazura dalam satu temu bual bersama Fattah Amin yang tular baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara popular, Janna Nick menafikan dakwaan kononnya dia menyindir pelakon Fazura dalam satu temu bual bersama Fattah Amin yang tular baru-baru ini.

Kontroversi itu tercetus selepas Janna menggunakan istilah ‘perempuan gila’ ketika mengajukan soalan kepada Fattah, yang juga merupakan bekas suami Fazura.

Namun, menurut Janna, istilah itu bukan ditujukan kepada sesiapa secara khusus, sebaliknya digunakan secara umum bagi mendapatkan gambaran daripada sudut pandang seorang lelaki selepas bercerai.

“Saya tanya soalan contoh bagi situasi umum seorang lelaki. Bukan bertujuan nak hina sesiapa,” katanya dalam video penjelasan yang dimuat naik menerusi akaun TikTok miliknya, semalam.

Malah, beliau secara berseloroh berkata, jika ada ‘perempuan gila’ dalam situasi itu, orangnya adalah dirinya sendiri.

“Kalian kata saya cakap Fazura itu ‘perempuan gila’? Hei, yang gila itu saya! Memang sah saya yang gila, saya ini ada ‘surat’,” tambahnya.

Janna menjelaskan niat sebenar soalan itu adalah untuk memahami perspektif lelaki yang mungkin berasa ‘bebas’ daripada tanggungjawab atau hubungan yang dirasakan membebankan selepas bercerai.

“Sebab saya rasa ada segelintir lelaki atau ayah yang macam lepas tangan selepas bercerai. Saya nak tahu, adakah mereka rasa bekas isteri itu ‘gila’? Itu yang saya nak selami,” ujarnya.

Tambahnya, sebagai individu yang dibesarkan dalam keluarga bercerai, beliau amat memahami perasaan wanita yang ditinggalkan.

“Mak saya sendiri adalah seorang wanita yang diceraikan. Saya sangat faham perasaan perempuan yang ditinggalkan atau yang terpaksa meninggalkan.

“Saya datang dari keluarga yang bercerai. Jadi saya takkan dan saya tak mungkin hina seorang wanita, apatah lagi seorang ibu,” jelasnya.

Bagaimanapun, pelakon drama Surat Dari Tuhan itu tetap memohon maaf sekiranya caranya mengajukan soalan itu menyinggung mana-mana pihak.

“Saya tahu mungkin cara saya bertanya agak terus terang dan tak sesuai bagi sesetengah pihak.

“Saya minta maaf sekiranya soalan itu mengguris hati sesiapa, termasuk Fattah sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here