Rafizi Ramli.

KUALA LUMPUR – Ibarat ‘pukul anak sindir menantu’ yang membawa maksud memarahi seseorang tetapi ia ditujukan kepada orang lain.

Itu pandangan penganalisis politik mengenai kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengenai impak yang akan berlaku sekiranya Nurul Izzah Anwar kalah dalam pemilihan parti merebut jawatan yang disandangnya itu.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Kebangsaan (n-Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata, kenyataan Menteri Ekonomi itu dianggap  ‘amaran’ untuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kronisme dan nepotisme yang menjadi bantahan keras selama ini.

“Rafizi sering dirujuk sebagai fighter atau seorang pejuang PKR. Kita telah alah bisa tegal biasa dengan kritikan sinis atau berapi daripada Rafizi.

“Pandangan Rafizi sekiranya Nurul Izzah kalah (beliau sebelum ini kalah di pilihan raya umum 2018 Parlimen Permatang Pauh) maka benarlah tempelak Rafizi bahawa ia turut mencerminkan kelemahan Anwar dan penolakan ahli-ahli PKR.

“Dia (Rafizi) masih setia kepada Anwar dan PKR. Rasanya itu mungkin cara dia mengingatkan kesan bakal berlaku dan mengingatkan perjuangan Anwar yang telah lari dari landasan menentang kronisme dan nepotisme,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam, Rafizi berkata,  kekalahan Nurul Izzah hanya akan membawa mesej bapanya sudah ditolak partinya sendiri.

“Apabila Nurul Izzah masuk gelanggang bertanding dengan saya, yang kena telan, yang kena pikul (beban dan impak) adalah Anwar Ibrahim.

“Sebab itu Izzah kena menang. Saya tidak dapat bayangkan (sekiranya beliau kalah), kita akan masuk pilihanraya dan berdepan dengan pembangkang dengan keputusan Anwar ditolak parti sendiri.

“Jadi apa pilihan yang ada? Maka, saya hendak tutup kempen saya begini, undilah Nurul Izzah saudara-saudari, sebab kita tiada keputusan yang lain walau apa pun pilihan peribadi kita, tetapi kita tidak boleh ada keputusan yang lain.

“Sebab itulah, jika ada umur panjang, bertemu dengan pemilihan parti lagi (pada masa akan datang), fikirlah panjang-panjang,” katanya semasa berceramah dalam Jelajah Hiruk Zon Utara baru-baru ini.

Pada siri jelajah itu, Rafizi turut memberi contoh impak nepotisme dalam sejarah Cuba melibatkan Fidel Castro, adiknya Raul Castro dan Che Guevara.

Mengulas lanjut, Kartini berkata, Rafizi yang telah bertahun lamanya dalam PKR sudah tentu sudah menyelami pendirian akar umbi parti tersebut.

Oleh yang demikian, Ahli Parlimen Pandan itu dilihat tidak akan takut dengan siapa pencabarnya kali ini.

“Rafizi walau dikatakan menteri yang kaya dengan formula, beliau seorang yang berani, berdedikasi serta telah ada pengalaman mentadbir sebagai menteri, maka Rafizi pasti akan memberikan saingan sengit kepada sesiapa saja yang bertanding merebut jawatan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here