KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan mencadangkan pembentukan santuari gajah kekal merangkumi merangkumi koridor ekologi sebagai langkah jangka panjang bagi menangani konflik manusia-hidupan liar yang semakin membimbangkan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, santuari seluas sekurang-kurangnya 10,000 hektar itu dicadangkan bagi memberi ruang selamat kepada gajah berkeliaran tanpa ancaman pembangunan.
Langkah itu juga bertujuan mengurangkan risiko pelanggaran kenderaan, yang telah meragut nyawa lapan ekor gajah dalam tempoh lima tahun, termasuk tiga kes pada tahun ini sahaja.
“Langkah ini bukan sahaja melibatkan pewartaan kawasan perlindungan kekal oleh kerajaan negeri tetapi juga kerjasama sektor perladangan yang boleh menyumbang melalui pembinaan mini koridor dalam kawasan ladang mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, inisiatif itu juga perlu dilaksanakan segera memandangkan kawasan keliaran gajah liar di Semenanjung telah menyusut sehingga 68 peratus berpunca daripada pembangunan dan perubahan guna tanah yang tidak terkawal.
“Bagi menyokong negeri memperluaskan kawasan perlindungan biodiversiti, kerajaan Persekutuantelah memperkenalkan mekanisme Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation sejak tahun 2019 (EFT) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM800 juta dan RM250 juta bagi tahun ini sahaja.
“Melalui insentif ini, lebih 90,000 hektar kawasan perlindungan daratan berjaya diwartakan, termasuk peningkatan lebih 14,000 hektar Hutan Simpan Kekal (HSK),” tambahnya.
Namun, Nik Nazmi menegaskan usaha itu perlu digiatkan dengan lebih agresif dan menyeluruh, khususnya oleh kerajaan negeri.
“Tanpa tindakan bersama, termasuk dari pentadbiran negeri dan pemain industri, konflik seperti ini akan terus berlaku dan menggugat kelestarian biodiversiti kita.
“Insiden ini sepatutnya membuka mata kita semua bahawa pembangunan tidak boleh lagi berlaku secara membelakangi alam sekitar,” jelasnya.
Beliau merujuk kepada kejadian 11 Mei lalu yang menyaksikan anak gajah mati dilanggar lori muatan ayam berhampiran sempadan Gerik-Jeli, satu kawasan yang diketahui sebagai laluan semula jadi mamalia besar itu.
Pihaknya juga akan terus memberi komitmen dalam memperkukuhkan usaha pendidikan alam sekitar sertameningkatkan kesedaran awam, memandangkan perlindungan hidupan liar tidak boleh bergantung kepada agensi kerajaan semata-mata. – MalaysiaGazette