PENYAKIT HFMD (tangan, kaki, mulut) merupakan penyakit berjangkit bersifat endemik di negara ini yang secara umumnya kerap berlaku kepada golongan kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

JOHOR BAHRU– Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Johor terus meningkat dengan jumlah kumulatif mencecah 13,415 kes pada minggu epid (ME) ke-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, sebanyak 1,964 kes dilaporkan pada ME19  berbanding 1,687 kes pada ME18.

“Ini melibatkan peningkatan sebanyak 16.4 peratus. Jumlah ini lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya malah sudah melepasi paras amaran sejak awal tahun lagi.

“Secara majoritinya kes melibatkan kanak-kanak berumur 0 hingga 6 tahun iaitu 80.3 peratus daripada keseluruhan kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tian Soon memaklumkan, sebanyak 86 kluster telah direkodkan di seluruh negeri melibatkan pelbagai premis termasuk 30 tabika, 21 pra-sekolah, 18 taska, 15 tadika, satu sekolah rendah dan satu rumah persendirian.

Untuk rekod, setakat ini seramai 449 individu telah dijangkiti daripada lebih 3,500 yang dilihat terdedah kepada virus berkenaan.

Susulan peningkatan mendadak itu katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah mengeluarkan dua notis amaran kepada semua pejabat kesihatan daerah, hospital kerajaan serta agensi pendidikan berkaitan pada 11 Mac lalu.

Tian Soon berkata, tujuan utama notis amaran itu dibuat bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan dan keprihatinan semua pihak termasuk pengusaha dan guru institusi pendidikan awal kanak-kanak serta pengusaha taman permainan terhadap peningkatan HFMD itu.

Semua pihak kata beliau, khususnya semua institusi berkaitan memperketatkan lagi langkah kebersihan dan kawalan infeksi termasuk amalan mencuci tangan, etika batuk dan bersin yang betul serta tidak berkongsi barangan peribadi.

“Selain itu, langkah-langkah seperti saringan di pintu masuk sekolah, pengasingan pelajar bergejala, dan laporan segera kepada pejabat kesihatan turut ditekankan bagi membendung penularan wabak ini.

“Kita juga difahamkan, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil langkah proaktif dengan mengaktifkan ciri Infectious Disease Tracker dalam aplikasi MySejahtera bagi membantu masyarakat mengenal pasti kawasan berisiko HFMD serta beberapa penyakit berjangkit lain.

“Selain itu, orang ramai juga digesa untuk sentiasa peka terhadap maklumat kesihatan awam serta mengamalkan gaya hidup bersih dan sihat, terutama mereka yang mempunyai anak kecil,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here