PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti secara terperinci isu penyalahgunaan penggunaan vape khususnya melibatkan beberapa kes pelajar serta individu di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia bagi menilai semula dasar sedia ada dan pelaksanaannya.
Tambah beliau, jawatankuasa itu dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Awam, Dr Ismuni serta Prof Dr Lokman yang juga penasihat kepada kementerian bagi isu kesihatan awam.
“Kami ambil maklum berlakunya beberapa kes yang tular di media sosial termasuk membabitkan pelajar berkumpulan serta insiden kematian yang dikaitkan dengan penggunaan vape,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Jururawat dan Hari Bidan Peringkat Kebangsaan 2025 di Institut Kanser Negara (IKN).
Menurut Dzulkefly, pihaknya mengarahkan supaya aspek penguatkuasaan serta keberkesanan pelaksanaan Akta 852 dikaji semula termasuk melakukan pemantauan secara menyeluruh (surveillance) terhadap kes-kes yang berkaitan.
“Perkara ini akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa dalam masa terdekat untuk meneliti sama ada dasar sedia ada perlu dikekalkan atau ditambah baik dengan cadangan dasar baharu yang lebih sesuai.
“KKM mahu memastikan setiap keputusan yang diambil berlandaskan bukti (evidence-based) serta mengambil kira semua implikasi yang ada terhadap kesihatan awam,” tambah beliau.
Beliau turut menegaskan KKM komited untuk menangani isu penggunaan beping secara menyeluruh demi keselamatan rakyat.
Gesaan terbaharu itu muncul lagi susulan kejadian pada Isnin lalu, membabitkan seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di Kangar yang terpaksa dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah selepas mengalami sawan berpunca daripada penggunaan vape. -MalaysiaGazette