PEKAN – Empat individu warga asing termasuk seorang kapten kapal ditahan bagi membantu siasatan penyelewengan dan penyeludupan disesel bersubsidi bernilai RM565,000 di sini pada dua hari lepas.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, pemeriksaan dilakukan selepas menerima maklumat mengenai sebuah kapal yang sedang berlabuh dalam keadaan mencurigakan di sebuah jeti di Pekan.
Pemeriksaan dalam Ops Tiris itu mendapati kapten kapal merupakan seorang warga asing telah memaklumkan kapal tersebut terpaksa berlabuh kerana mengalami kerosakan.
“Beliau turut memaklumkan minyak diesel yang dibawa digunakan bagi tujuan pembaikan kapal dan untuk diagihkan kepada 30 buah kapal lain milik syarikat yang berpangkalan di Miri, Sarawak.
“Kapten tersebut telah mengisytiharkan sejumlah 200,000 liter minyak diesel berada dalam simpanan kapal semasa pemeriksaan diadakan.
“Namun begitu kapten gagal mengemukakan sebarang dokumen sah daripada pengawal bekalan berkaitan pemilikan atau urus niaga minyak diesel yang dibawa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jelas Jezlily, pemeriksaan fizikal seterusnya telah menjumpai cecair berwarna kuning yang disyaki minyak diesel bersubsidi dalam lapan kompartmen tangki kapal.
Susulan gagal mengemukakan dokumen sah dan penemuan bahan kawalan berjadual tanpa lesen yang sah, satu tindakan kes telah diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 oleh pihak KPDN.
Tindakan sitaan turut dibuat ke atas minyak diesel disyaki sebanyak 200,000 liter dengan nilai anggaran sebanyak RM480,000 dan sebuah kapal dianggarkan bernilai RM85,000.
“Jumlah nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM565,000. Kapten kapal serta tiga lagi telah ditahan bagi siasatan lanjut.
“Selaras dengan inisiatif Kita Gempur., KPDN Pahang ingin mengingatkan semua pihak pemilikan dan pengedaran barang kawalan seperti minyak diesel tanpa lesen yang sah adalah satu kesalahan serius di bawah undang-undang negara.,” tambahnya.
Tindakan tegas akan terus diambil bagi membanteras akiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan di perairan negara.
Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 jika orang itu suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM2,000,000 dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM5,000,000.
Jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi-RM1,000,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Manakala denda bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM3,000,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette