Antara tangkapan yang dilakukan Maritim Malaysia.

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM18.5 juta dalam tempoh dua tahun.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, ia berdasarkan data operasi yang direkodkan  sejak tahun 2023 hingga Mei 2025.

Rampasan dadah itu melibatkan sejumlah 95.4 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, ganja, ecstacy dan yaba serta 179 liter cecair kimia prekursor dadah sintetik.

“Maritim Malaysia akan terus memperhebat kawalan sempadan perairan negara dalam usaha mengekang sindiket jenayah rentas sempadan khususnya penyeludupan dadah yang semakin licik dan kompleks.

“Sindiket dadah dilihat menggunakan perairan Malaysia sebagai laluan utama penyeludupan namun ketegasan penguatkuasaan kami berjaya mengekang banyak cubaan. 

“Sekurang-kurangnya 15 individu telah diberkas dan kini disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. 

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dianjurkan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Putrajaya dekat sini hari ini.

Ia disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Tambah Mohd Rosli, sejak penubuhan agensi itu pada 2005, pelbagai bentuk rondaan dan operasi dilaksanakan di lokasi panas yang dikenal pasti sebagai laluan aktif sindiket penyeludupan, termasuk di sempadan perairan negara.

“Usaha ini adalah selaras dengan aspirasi Menteri Dalam Negeri yang mahu semua agensi di bawah KDN terus memperkukuh tindakan menyekat penularan jenayah dadah yang telah menular ke dalam masyarakat selama lebih empat dekad,” katanya lagi.

Selain penguatkuasaan di laut, Maritim Malaysia juga aktif melaksanakan operasi di kawasan komuniti maritim terutamanya di perkampungan nelayan yang terdedah kepada ancaman pengedaran dan penagihan dadah.

“Kami tidak hanya fokus operasi di laut, kami juga ‘turun padang’ melaksanakan program intervensi bersama AADK di kawasan nelayan bagi memastikan generasi muda tidak terperangkap dengan ancaman dadah,” jelasnya.

Beliau juga memaklumkan Maritim Malaysia turut menjalinkan kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS) serta pelbagai agensi lain bagi memperkukuh jaringan risikan dan menjalankan operasi bersepadu secara berterusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here