SEGAMAT – Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mengintai dan merakam seorang wanita dalam tandas di sebuah restoran, Bandar Putra di sini pada 4 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, suspek warga tempatan berusia 20-an itu menggunakan telefon bimbitnya untuk merakam mangsa yang membuang air kecil dalam tandas berkenaan pukul 10.38 malam.
“Ketika membuang air kecil, mangsa dikatakan menyedari terdapat pergerakan mencurigakan sekitar tandas terbabit sebelum mengesan ada telefon sedang membuat rakaman terhadapnya.
“Mangsa kemudian bergegas keluar dari tandas dan mengesyaki seseorang telah melakukan rakaman itu,” katanya pada sidang media hari ini.
Mangsa membuat laporan polis beberapa minit selepas kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat dan suspek berjaya ditahan di Segamat pada 9 Mei lalu.
Ahmad Zamry berkata, dalam telefon bimbit suspek terdapat kira-kira 16,000 gambar wanita yang dirakam dan dimuat turun suspek beserta dua video rakaman wanita di tandas.
Polis membuka kertas siasatan hasil penahanan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 377d/292 Kanun Keseksaan.
Beliau menasihati orang ramai sentiasa berwaspada dengan kes seumpama itu dan membantu menyalurkan sebarang maklumat berkaitan sebarang kejadian jenayah kepada polis untuk tindakan segera.- MalaysiaGazette