Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

KUALA LUMPUR – Malaysia masih bebas daripada sebarang wabak penyakit babi yang disebabkan bakteria Streptococcus suis, kata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Streptococcus suis merupakan bakteria penting yang menyebabkan penyakit streptococcosis pada ternakan babi terutamanya dalam kalangan anak babi selepas bercerai susu.

Penyakit ini merupakan penyakit zoonotic iaitu penyakit yang boleh menjangkiti manusia melalui luka terbuka yang terdedah kepada darah atau cecair daripada babi yang dijangkiti atau dengan memakan daging babi yang tidak dimasak sempurna.

Antara tanda klinikal awal penyakit ini pada ternakan babi ialah demam, selera makan tidak menentu, tempang yang berubah-ubah antara kaki, kelesuan dan kemurungan.

Ternakan babi yang dijangkiti juga boleh menunjukkan tanda klinikal meningitis yang lebih ketara seperti menarik telinga ke belakang serta mengecilkan mata, hilang koordinasi pergerakan dan menunjukkan posisi badan yang luar biasa (contohnya duduk seperti anjing).

Gejala ini kemudiannya boleh berkembang dengan cepat sehingga tidak mampu untuk berdiri, pergerakan mengayuh kaki, kekejangan otot belakang yang menyebabkan badan melengkung, sawan, dan pergerakan mata yang tidak terkawal (nystagmus).

Dalam kes perakut (peracute), ternakan babi boleh mati tanpa menunjukkan sebarang tanda klinikal awal.

Para penternak perlulah melaporkan segera kepada DVS sekiranya mengesan sebarang tanda tersebut.

Bakteria ini lazimnya mendiami bahagian atas saluran pernafasan babi secara semula jadi, khususnya di kawasan tonsil, dan boleh juga dijumpai di saluran pembiakan dan sistem pencernaan babi yang sihat.

Bagaimanapun, apabila ternakan babi berada dalam keadaan tekanan tinggi, bakteria Streptococcus suis boleh menyebabkan penyakit streptococcosis kepada ternakan babi tersebut.

Antara faktor yang boleh menyebabkan tekanan tinggi kepada ternakan babi termasuklah;
1. Kepadatan ternakan babi yang terlalu tinggi
2. Pengudaraan yang sangat teruk dan tidak mencukupi
3. Perubahan turun naik suhu yang melampau
4. Pencampuran ternakan babi dengan perbezaan umur melebihi 2 minggu, dan
5. Ternakan babi sedang dijangkiti penyakit lain.

Justeru itu, para penternak dan pengendali ternakan babi dinasihatkan untuk memastikan amalkan biosekuriti ladang yang baik; kebajikan ternakan babi sentiasa terjaga, memantau kesihatan ternakan babi setiap masa, dan melaporkan dengan segera kepada pihak DVS sekiranya terdapat sebarang tanda penyakit pada ternakan babi.

DVS sentiasa memantau situasi semasa dan kekal komited memastikan kesihatan haiwan serta keselamatan makanan berasaskan haiwan
sentiasa terpelihara demi melindungi kesihatan awam veterinar dan kesejahteraan rakyat.

Bagi individu yang terlibat dalam industri babi (penternak, pekerja rumah sembelih, pengangkut daging, dan penjual daging), amalkan langkah-
langkah perlindungan diri yang sesuai seperti memakai sarung tangan dan pakaian pelindung semasa mengendalikan babi atau produk babi.

Setiap penternak dan pengendali ternakan babi digalakkan berwaspada terhadap perubahan kesihatan diri dan segera mendapatkan pemeriksaan di fasiliti
kesihatan sekiranya bergejala.

DVS turut menyeru semua pihak, khususnya para penternak, agar sentiasa peka terhadap perkembangan semasa penyakit haiwan dan melaporkan
segera sebarang tanda klinikal kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar berhampiran atau melalui talian hotline 03-8870 2041. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here