KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia mengenakan duti anti-lambakan terhadap import produk gulungan rata besi atau keluli bukan aloi dari China, India, Jepun dan Korea.
Duti anti-lambakan itu dikenakan sehingga 36.80 peratus ke atas pengimportan dagangan produk gulungan rata besi atau keluli bukan aloi dengan kelebaran 600mm atau lebih, disalut, disadur atau disepuh dengan timah (electrolytic tinplate atau tinplate).
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, duti anti-lambakan ke atas dagangan subjek ini akan dikuatkuasakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia selama lima tahun mulai 11 Mei 2025 hingga 10 Mei 2030.
Keputusan ini susulan siasatan yang dijalankan di bawah Akta Duti Timbal Balas dan Anti Lambakan 1993 terhadap produk gulungan rata besi atau keluli bukan aloi sejak 14 Ogos 2024.
“Penyiasatan duti anti-lambakan telah dimulakan selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta) serta Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 (Peraturan) berdasarkan petisyen yang difailkan oleh Perusahaan Sadur Timah Malaysia (Perstima) Berhad, mewakili industri tempatan yang mengeluarkan produk serupa.
“Kerajaan telah memuktamadkan siasatan dan mendapati dagangan subjek diimport ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga jualan di negara-negara yang didakwa sehingga menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan yang mengeluarkan produk serupa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. – MalaysiaGazette