KUALA LUMPUR – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa agar siasatan menyeluruh dan terperinci dilaksanakan oleh pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca nahas yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, sekiranya terdapat unsur kecuaian atau pelanggaran undang-undang, pihak yang bertanggungjawab mestilah dibawa ke muka pengadilan tanpa sebarang kompromi.

Menurut, keadilan kepada anggota dan ahli keluarga mangsa yang terlibat mestilah ditegakkan dengan tegas dan telus.

“MCPF turut menggesa agar semua pihak dapat mengambil iktibar daripada tragedi ini dan memperkukuh aspek keselamatan serta pematuhan peraturan jalan raya dalam apa jua operasi melibatkan anggota keselamatan,” katanya.

Jelasnya, insiden ini amat mengejutkan dan merupakan satu kehilangan besar kepada negara, khususnya kepada PDRM.

MCPF merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada Tan Sri Razarudin Husain, Ketua Polis Negara serta seluruh ahli keluarga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkorban dalam nahas tragis yang melibatkan sebuah kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang bertembung dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus – Sungai Lampam, Teluk Intan, hari ini.

“MCPF menghargai setiap pengorbanan anggota PDRM yang sentiasa berkhidmat dengan penuh iltizam dan dedikasi demi menjaga keamanan serta kesejahteraan rakyat. Pengorbanan yang dicurahkan oleh semua anggota PDRM dalam menjalankan tugas ini amat dihargai dan besar maknanya.

“Kami berdoa agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Semoga seluruh ahli keluarga yang terkesan dengan tragedi ini diberi ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi ujian yang amat berat ini.

“MCPF berdiri teguh bersama PDRM dalam menghadapi saat sukar ini dan akan terus menyokong usaha pasukan keselamatan negara dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga dan memelihara keamanan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here