Ahli keluarga mangsa kemalangan yang mengorbankan 9 anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) dalam nahas melibatkan sebuah trak polis dan lori muatan batu di Jalan Chikus - Sungai Lampan, Teluk Intan, pada selasa di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 MEI 2025.

TELUK INTAN – Suasana pilu dan laungan Allahuakbar menyelubungi kejadian nahas mengorbankan sembilan anggota termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam dekat sini pada Selasa.

Menurut saksi, Noor’ Ain Asyiqin Abdul Khalel, 39, dalam kejadian sekitar jam 8.50 pagi itu situasi pada awalnya panik bertukar sayu apabila kelihatan rakan-rakan sepasukan cuba menyelamatkan mangsa.

Katanya, semasa kejadian dia sedang memasak di kedai yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Nahas FRU Teluk Intan kemalangan Jalan Chikus-Sungai Lampam, trak FRU bertembung lori, saksi nahas FRU, kemalangan maut FRU Perak, berita kemalangan Teluk Intan 2025
saksi kejadian, Noor’ Ain Asyiqin Abdul Khalel, 39.

“Saya dengar bunyi rintihan, jeritan dan tangisan kuat, saya percaya ia dari rakan-rakan mangsa.

“Saya sendiri sebak apabila dengar mereka jerit ‘Allahuakbar’. Malah terbayang bagaimana keadaan anak dan isteri mangsa selepas mendapat perkhabaran duka itu.

“Situasi sangat kelam kabut. Jalan pula mula sesak kerana tiada siapa dapat kawal lalu lintas pada waktu tu,” katanya ketika ditemui.

Noor’ Ain Asyiqin mendakwa, lori muatan batu terbabit yang menuju ke arah Teluk Intan dilihat cuba mengelak sebuah kenderaan yang keluar dari persimpangan jalan terbabit, sebelum bertembung dengan kenderaan FRU  dari arah bertentangan.

“Semasa kejadian saya dengar dentuman yang kuat, dan tidak lama kemudian beberapa anggota FRU yang berada dalam trak hadapan turun serta berlari ke arah lokasi kemalangan untuk membantu rakan-rakan mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Airul Amri Abd Hamid, 31, yang tiba di lokasi beberapa minit selepas kejadian berlaku berkata, bahagian depan kenderaan FRU remuk teruk dengan pemandu serta kelindannya tersepit.

Katanya, dia sendiri tidak dapat mengambarkan semula situasi kejadian apabila lokasi kejadian berlumuran dengan darah.

“Kami orang awam yang berada di lokasi hanya mampu membantu sekadar termampu sebelum bomba dan ambulans sampai.

“Kejadian ini sangat pilu dan menyedihkan. Tambahan pula saya dengar rintihan mereka yang cedera dalam,” katanya.

Nahas FRU Teluk Intan 🔎 Related Keyphrases: kemalangan Jalan Chikus-Sungai Lampam, trak FRU bertembung lori, saksi nahas FRU, kemalangan maut FRU Perak, berita kemalangan Teluk Intan 2025
saksi kejadian, Airul Amri Abd Hamid, 31,

Airul Amri memberitahu, jalan berkenaan sememangnya kerap berlaku kemalangan berikutan kewujudan simpang keluar masuk ke jalan utama.

Bagaimanapun katanya, kejadian pada pagi tari merupakan kejadian paling tragik yang pernah dilihatnya.

“Sebelum ni pun ada kemalangan, tapi jarang melibatkan kematian. Kali ini benar-benar tragik. Hanya Tuhan sahaja tahu perasaan kami yang menyaksikan,” ujarnya – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here