Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media kemalangan membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 MEI 2025.

TELUK INTAN – Semua waris anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan di di Jalan Chikus-Sungai Lampam dekat sini pagi tadi akan menerima bantuan antara RM58,000 hingga RM269,000 sumbangan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bantuan awal yang akan diterima adalah melalui Tabung Kebajikan PDRM sebanyak RM1,200 melibatkan anggota bekerja.

“Yang kedua, Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara. Ini bagi kes kematian. Bantuan RM25,000 akan diberikan kepada waris.

“Bagi yang cedera parah dan hilang upaya kekal antara RM8,000 hingga RM11,000 manakala untuk cedera ringan sebanyak RM1,000.

“Bentuk bayaran ini bergantung kepada penilaian pakar perubatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini petang tadi.

Dalam perkembangan sama, Ayob Khan berkata, bagi Skim Ex-Gratia pula menawarkan pampasan pukal sebanyak RM20,000 bagi kematian selain bayaran bulanan kepada waris yang layak termasuk dalam kes hilang upaya melebihi 21 peratus atau kurang daripada itu.

“Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak turut menyumbangkan RM11,000 kepada setiap anggota yang terlibat.

“Koperasi PDRM pula akan menyumbangkan RM1,500 bagi bantuan khairat kematian.

“Pampasan insurans di antara RM36,000 hingga RM211,000 juga akan diberikan bergantung kepada jumlah caruman,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, ujian air kencing terhadap suspek berusia 45 tahun itu didapati negatif dan tiada sebarang unsur penggunaan bahan terlarang termasuk ketum seperti yang tular di media sosial.

“Ujian air kencing sudah dibuat dan hasilnya negatif. Kita juga sahkan dakwaan kononnya suspek membawa ketum adalah tidak benar.

“Pihak polis akan melengkapkan siasatan dengan mengambil keterangan lanjut daripada suspek termasuk menyemak semula semua aspek teknikal perlanggaran membabitkan lori membawa muatan batu itu,” ujarnya.

Beliau berkata, suspek akan ditahan reman di Mahkamah Majistret Teluk Intan, esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here