PUTRAJAYA –  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan mengenepikan cadangan menerusi memorandum Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) baru-baru ini, supaya kerajaan meminda Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) bagi membolehkan pelaksanaan paparan harga ubat di klinik swasta dibuat mengikut undang-undang berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata keputusan mengenai pertimbangan dan pendirian kementerian tersebut dijangka dapat diumum kepada Kabinet dalam tempoh dua minggu, iaitu penghujung Mei ini.

“Saya mahu dalam tempoh dua minggu ini perkara ini dapat diselesaikan dan dapat lah kita umumkan kepada Kabinet dari sudut fi konsultasi, jadual ketujuh Akta 586 (pengamal perubatan) GP swasta dan sekaligus dengan itu, bagaimana kita boleh mengambil satu pendekatan meletakkan penandaan harga ubat di bawah Akta 586.

“Mudah-mudahan penghujung Mei kita dapat selesaikan secara tuntas.

“(Ini) pada saya untuk kita benar-benar dapat meletakkan permohonan mereka itu (pada tempat sepatutnya). Supaya apa yang disebutkan oleh mereka itu (dipertimbangkan). saya mahu menunjukkan bahawa kita benar-benar responsif dan dengar apa yang mereka ingin katakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Jururawat dan Hari Bidan Peringkat Kebangsaan 2025 di Institut Kanser Negara (IKN).

Dalam masa yang sama, Dzulkefly berharap perkara yang dibangkitkan oleh MMA mengenai Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) yang terkait dengan Akta 586 akan dapat diselesaikan kelak.

“Maksudnya (sepatutnya) perkara ini kita dapat tangani bersama dan nantikan, apa pun keputusan itu, adalah keputusan yang akan kita teliti dengan cermat segala permohonan dan permintaan mereka,” tambahnya.

Sebagai rekod, MMA menerusi himpunan baru-baru ini menyuarakan cadangan supaya kerajaan meminda Akta 586 bagi membolehkan pelaksanaan paparan harga ubat di klinik swasta dibuat mengikut undang-undang berkenaan.

Presidennya, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira, berkata Menteri Kesihatan boleh menggubal peraturan mengikut Seksyen 107 Akta 586 iaitu undang-undang yang mengawal selia amalan perubatan bagi pelaksanaan dan penguatkuasaannya di klinik swasta.

Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan meminta Menteri Kesihatan itu meneliti isu dibangkitkan oleh persatuan berkenaan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here