Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan & Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) Bilangan 1 Tahun 2025 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 12 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan akan menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menyiasat insiden kemalangan membabitkan kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang meragut nyawa sembilan anggota keselamatan di Jalan Chikus – Sungai Lampan, Teluk Intan, Perak pagi tadi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pasukan khas itu akan ditubuhkan dalam masa terdekat dan terdiri daripada pakar keselamatan serta wakil-wakil bebas.

“Pasukan ini akan meneliti punca kemalangan serta mengemukakan cadangan penambahbaikan terhadap aspek keselamatan jalan raya terutamanya melibatkan kenderaan berat,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Anthony, siasatan ini adalah langkah tambahan kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak polis.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada kesemua keluarga FRU yang maut dalam kemalangan itu.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyuarakan kebimbangan terhadap tahap keselamatan kenderaan berat di negara ini.

Beliau memaklumkan laporan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kegagalan sistem stereng pada sebuah lori membawa muatan pasir yang hilang kawalan sebelum merempuh kenderaan FRU.

“Ini tidak seharusnya berlaku sekiranya kenderaan tersebut telah menjalani pemeriksaan menyeluruh oleh pihak berwajib. Kita tidak boleh meletakkan kesalahan hanya pada pemandu lori sebaliknya pemilik syarikat pengangkutan juga perlu dipertanggungjawabkan,” katanya.

Ahmad Zahid turut menekankan keperluan untuk memperketat pemeriksaan teknikal ke atas kenderaan berat serta ujian saringan air kencing dan alkohol terhadap pemandu.

“Kita perlu lebih tegas dalam memastikan hanya pemandu yang benar-benar layak dan kenderaan yang selamat dibenarkan berada di jalan raya, lebih-lebih lagi jika ia berisiko menyebabkan kemalangan maut seperti ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here