KUALA LUMPUR – Pelabur asing meneruskan aliran masuk bersih di Bursa Malaysia, berlanjutan kepada pembelian berturut-turut tiga minggu, mencatatkan aliran masuk bersih RM422.6 juta, walaupun lebih rendah daripada RM853.8 juta minggu sebelumnya.
MIDF Research berkata, pelabur asing adalah pembeli bersih pada setiap hari dagangan kecuali Isnin dan Khamis, yang menyaksikan aliran keluar masing-masing sebanyak -RM92.4 juta dan -RM42.4 juta.
Kemasukan bersih tertinggi dicatatkan pada hari Rabu pada RM364.8 juta, diikuti Jumaat dengan RM135.1 juta.
Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah utiliti (RM253.3 juta), telekomunikasi dan media (RM53.3 juta), dan perkhidmatan kewangan (RM51.1 juta).
Hanya dua sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih asing ialah tenaga (-RM57.5 juta) dan teknologi (-RM56.0 juta).
Firma penyelidikan itu menambah, pelabur institusi tempatan pula meneruskan rentetan jualan bersih mereka kepada tiga minggu berturut-turut, dengan aliran keluar berjumlah –RM397.8 juta.
Sementara itu, pelabur runcit pula melanjutkan aliran jualan untuk minggu keempat, walaupun berkurangan kepada –RM24.8 juta berbanding RM161.2 juta minggu sebelumnya.
Purata volum dagangan harian (ADTV) menyaksikan peningkatan secara meluas minggu lepas. Institusi tempatan dan peruncit tempatan menyaksikan peningkatan sebanyak +8.6% dan +2.9% masing-masing, manakala pelabur asing menyaksikan peningkatan sebanyak +6.1%. – MalaysiaGazette