BALIK PULAU – Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas sebelum terbalik di laluan berbukit di Jalan Tun Sardon di sini, malam tadi.
Mangsa, Shahrizal Ahmad, 44, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 10.22 malam dan tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.
“Sebaik tiba kita dapati sebuah lori yang membawa muat tar terbabas di selekoh bahu jalan kawasan berbukit dan terbalik.

“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang mangsa tersepit di bahagian ruangan kabin lori belakang tempat pemandu.
“Susulan itu, kita melakukan kerja-kerja penstabilan kenderaan sebelum mengambil masa kira-kira dua jam untuk keluarkan mangsa yang tersepit,” katanya hari ini.
Tambah Sagun Francis, mangsa berjaya dikeluarkan jam 12.48 tengah malam menggunakan peralatan khas sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya jam 1.35 pagi,” katanya. – MalaysiazGazette