KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dan melanggar sepasang suami isteri yang menaiki motosikal berdekatan Plaza Tol Jalan Duta di sini dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini bagi tujuan pendakwaan.
Tertuduh yang lengkap berpakaian hoodie, berseluar pendek dan memakai pelitup muka serta bergari, dilihat dikawal ketat pihak polis ketika tiba di lobi mahkamah sekitar jam 8.50 pagi tadi.
Kehadirannya turut menarik perhatian media yang sudah sampai awal pagi dan orang awam termasuk beberapa individu dipercayai kenalan atau ahli keluarganya yang sudah menunggu di sekitar mahkamah.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/05/12/suspek-langgar-lari-di-tol-duta-bukan-pemilik-pikap/
Polis semalam mengesahkan bahawa lelaki terbabit bukan pemilik asal kenderaan yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
“Siasatan awal mendapati suspek cuba memotong sebuah motosikal lain, namun gagal mengelak mangsa yang turut menunggang motosikal sebelum merempuh bahagian kanan kenderaan mereka.
“Laporan polis pertama diterima pada hari sama, jam 6.55 petang dibuat pemandu pikap terbabit. Susulan siasatan, permohonan reman dibuat dan suspek kini ditahan selama dua hari di Lokap Dang Wangi bagi membantu siasatan sejak Sabtu lepas,” katanya.
Kejadian yang tular dan dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) klip video berdurasi satu minit memaparkan sebuah pikap melarikan diri selepas melanggar motosikal dinaiki pasangan suami isteri terbabit.
Wanita yang juga pembonceng motosikal mengalami pendarahan otak, patah buku lali dan tulang rusuk, manakala suaminya mengalami retak tulang selangka serta luka pada buku lali, ketika ini kedua-duanya kini dirawat dalam keadaan kritikal di Hospital Sungai Buloh.
Difahamkan prosiding berkaitan kes ini akan bermula sekitar jam 11.30 pagi ini. -MalaysiaGazette