Pemandu Pickup Nissan Navara (tengah) yang melanggar sebuah motosikal dinaiki sepasang suami isteri berdekatan Plaza Tol Jalan Duta dihadapkan ke mahkamah bagi sesi pendakwaan di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 13 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara 30 hari dan denda RM12,000 kepada pemandu pikap Navara yang mengaku salah atas pertuduhan melanggar sepasang suami isteri dalam kemalangan di plaza tol Jalan Duta, Sabtu lalu.

Tertuduh, K Dharmaraju, 32, yang kelihatan sentiasa memakai ‘hoodie’ dan topi sepanjang prosiding membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Khairunnisak Hassni hari ini.

Ketika pertuduhan itu dibacakan, tertuduh yang tunduk sepanjang prosiding mengangguk dan berkata ‘ya’.

Sejurus selepas mendengar pengakuan tertuduh, hakim menjatuhkan hukuman penjara 30 hari bermula tarikh tangkapan iaitu 11 Mei dan mengenakan denda sebanyak RM12,000.

“Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh akan menjalani hukuman penjara tambahan selama 12 bulan,” kata Khairunnisak ketika membacakan keputusannya.

Mengikut pertuduhan, kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Selain hukuman tersebut, mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung selama lima tahun bermula dari tarikh sabitan.

Mahkamah juga diperdengarkan bagaimana mangsa wanita yang juga pembonceng motosikal mengalami pendarahan otak, patah buku lali dan tulang rusuk

Manakala suaminya mengalami retak tulang selangka serta luka pada buku lali, ketika ini kedua-duanya kini dirawat dalam keadaan kritikal di Hospital Sungai Buloh.

Terdahulu, tertuduh yang memasuki bilik bicara sekitar jam 12.15 tengah hari diminta membuka ‘hoodie’ sejurus majistret masuk mengikut etika mahkamah oleh seorang anggota trafik. 

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang pada hari kejadian, pasangan suami isteri yang menunggang motosikal berada di lorong kiri jalan di plaza tol Jalan Duta sebelum dirempuh dari arah kanan oleh kenderaan yang dipandu tertuduh.

Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan serius sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan manakala tertuduh melarikan diri dari lokasi kejadian tanpa berhenti untuk memberikan bantuan.

Ketika prosiding tadi, peguam tertuduh, S Vinesh memohon supaya hukuman diringankan atas alasan ini adalah kesalahan pertama anak guamnya.

Katanya, Dharmaraju yang bekerja sebagai jurujual alat ganti kenderaan dengan pendapatan sekitar RM2,000 hingga RM2,200 turut menanggung ibu bapanya yang uzur serta baru sahaja berkahwin tahun lalu.

Menurut peguam itu,m hukuman berat akan menjejaskan masa depan dan kehidupan keluarga tertuduh. Dharmaraju juga menyatakan kekesalan atas insiden tersebut dan memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat.

“Anak guam saya benar-benar kesal dan langsung tidak berniat untuk mendatangkan kesakitan seperti ini terhadap mangsa dan keluarga mangsa. Dia benar-benar kesal dan memohon maaf kepada semua yang terlibat, Yang Arif,” katanya manakala ahli keluarga duduk di bangku menggelengkan kepala beberapa kali.

Namun pendakwaan, Pegawai Pendakwaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Shawna Hasifi pula memohon supaya hukuman setimpal dikenakan agar ini menjadi pengajaran kepada yang lain.

Mahkamah menegaskan tindakan memandu secara berbahaya dan melarikan diri selepas menyebabkan kecederaan adalah kesalahan serius.

Selepas hukuman dijatuhkan, beberapa ahli keluarga tertuduh sempat membisikkan sesuatu kepada Dharmaraju sebelum beredar keluar dari bilik prosiding, mereka juga enggan ditemuramah media sebaliknya terus berlalu pergi.

Kejadian yang tular dan dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) klip video berdurasi satu minit memaparkan sebuah pikap melarikan diri selepas melanggar motosikal dinaiki pasangan suami isteri terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here