KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menepis dakwaan pihak-pihak tertentu kononya penggabungan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) dengan Kolej Profesional Kuala Lumpur (KPKL) menggunakan wang zakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menegaskan, penggabungan kedua-dua institusi berkenaan tidak melibatkan sebarang kos dan hanya menggunakan sumber sedia ada.
Beliau menjelaskan, penggabungan kedua-dua instituti di bawah kelolaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu adalah bagi mengoptimumkan sumber dana untuk kebajikan pelajar-pelajar asnaf dikedua-dua buah institusi.
“Ada dakwaan di luar yang mengatakan dengan penggabungan ini akan berlaku salah guna duit zakat dan sebagainya. Tidak, penjenamaan Kolej Profesional ini objektif utama untuk mengoptimumkan penggunaan wang zakat.
“Kalau kita tengok sebelum ini IKB dan KPBKL yang ada bersebelahan saja. Contohnya, kalau sebelum penggabungan ini di IKB dia (pelajar) tidak ada pusat sumber di KPBKL ada pusat sumber.
“Jadi, dengan penggabungan yang berlaku pada hari ini, pelajar-pelajar ataupun pelatih di IKB boleh memanfaatkan pusat sumber yang ada di KPBKL, begitu juga daripada sudut infrastruktur penggunaan dewan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Peralihan Penstrukturan Pengurusan IKB dan KPBKL di sini, hari ini.
Sebelum ini, terdapat pihak mempersoalkan mengenai penggabungan kedua-dua institut berkenaan yang didakwa menggunakan wang zakat.
Pihak terbabit mendakwa, kedua-dua institusi latihan tersebut hanya dijadikan sebagai “kambing hitam” untuk selamatkan pusat pengajian swasta milik MAIWP.
Mengulas lanjut Mohd Na’im berkata, menerusi penggabungan itu juga tidak akan menjejaskan kebajikan pelajar-pelajar asnaf yang menuntut di institusi berkenaan.
“Saya dah sebutkan kebajikan pelajar-pelajar asnaf ini bukan saja kita kekalkan, kita akan cari jalan bagaimana kita nak tambah baik untuk mereka ini dapat pendidikan yang lebih selesa.
“Contohnya, pelajar-pelajar-pelajar IKB ini sekarang dia dapat sijil sahaja. Jadi, dengan penjenamaan dan penggabungan ini, mereka ini ada peluang untuk masuk ke KPBKL ambil diploma. Yang mana mereka sebelum ini tidak ada peluang, dia sebut.
“Penggabungan ni akan banyak memberikan manfaat daripada sudut peluang belajar kepada pelajar-pelajar ataupun pelatih-pelatih di IKB,” ujarnya. – MalaysiaGazette