KETEGANGAN antara India dan Pakistan sering kali dilihat sebagai isu serantau Asia Selatan. Namun, dalam dunia yang serba terhubung ini, konflik dua hala itu membawa kesan yang jauh melangkaui sempadan geografi termasuk kepada Malaysia. Di sebalik fokus terhadap aspek ketenteraan dan politik, satu impak yang kurang diberi perhatian ialah gangguan terhadap ekosistem perdagangan makanan dan komoditi negara, yang secara tidak langsung boleh menggugat kestabilan ekonomi dan sosial tempatan.
Rantaian bekalan makanan di ambang krisis
Malaysia banyak bergantung kepada import makanan dari India dan Pakistan. Antara produk utama ialah bawang, beras basmati, rempah, kekacang, buah-buahan kering dan teh. Gangguan terhadap laluan dagang atau pelabuhan akibat konflik bersenjata akan menyebabkan kelewatan atau penyekatan bekalan, sekali gus melonjakkan harga di pasaran tempatan.
Contohnya, Malaysia mengimport kira-kira 70% keperluan bawang merah dari India. Pada tahun 2019, sekatan eksport oleh India akibat isu domestik telah menyebabkan kenaikan harga bawang lebih daripada dua kali ganda. Sekiranya perang berlaku, impak dijangka lebih serius bukan hanya dari segi harga, malah dari aspek ketersediaan dan keterjaminan bekalan.
Ketergantungan tinggi terhadap negara luar bagi bahan asas mencerminkan kelemahan dalam strategi keselamatan makanan negara. Malaysia masih belum benar-benar
menangani isu struktur dalam sektor pertanian seperti produktiviti rendah, kekurangan buruh mahir tempatan, dan kebergantungan kepada import input pertanian.
Perladangan komoditi terancam siapa yang rugi?
Sektor komoditi negara khususnya sawit, getah dan koko juga terdedah kepada ketidaktentuan ini. India ialah antara pengimport terbesar minyak sawit mentah (CPO) dari Malaysia. Konflik bersenjata boleh menjejaskan permintaan pasaran atau memaksa India mengalihkan importnya ke negara lain seperti Indonesia.
Dalam masa sama, input penting industri perladangan seperti baja kimia, racun makhluk perosak dan mesin pertanian yang diimport dari India mungkin berdepan kenaikan harga atau sekatan. Kos pengeluaran bagi pekebun kecil dan syarikat perladangan dijangka meningkat, menjejaskan daya saing komoditi negara di pasaran antarabangsa.
Malaysia perlu segera menilai semula dasar komoditi nasional yang terlalu tertumpu kepada pasaran tertentu. Kepelbagaian pasaran dan dasar diplomasi ekonomi yang lebih tangkas amat diperlukan. Kita tidak boleh terus bergantung kepada ‘pasaran tradisi’ semata-mata tanpa pelan kontingensi yang kukuh.
Dari ladang ke meja makan
Gabungan kenaikan harga bahan makanan, gangguan bekalan dan penurunan hasil eksport akan mencetuskan kesan domino kepada ekonomi domestik. Keluarga berpendapatan rendah akan menanggung beban kos makanan, manakala pekebun dan petani pula berdepan penurunan margin keuntungan. Sektor makanan dan perladangan yang merupakan tulang belakang luar bandar akan terjejas secara menyeluruh.
Lebih membimbangkan, kerajaan mungkin terpaksa menanggung kos subsidi tambahan bagi mengawal harga barang asas dan membantu industri. Ini boleh memberi
tekanan kepada fiskal negara dalam jangka sederhana.
Krisis ini perlu menjadi titik tolak kepada reformasi menyeluruh dalam ekosistem pertanian dan perdagangan makanan negara. Isu ini bukan sekadar logistik atau diplomasi ia adalah cerminan kepada betapa lemahnya keupayaan negara untuk berdikari dalam sektor makanan, walaupun kita dikelilingi tanah subur dan sumber pertanian yang kaya.
Apa yang perlu dilakukan sekarang?
Malaysia mesti bertindak proaktif, bukan reaktif. Antara langkah yang boleh dipertimbangkan:
1. Kepelbagaian Sumber Import: Bangunkan hubungan perdagangan yang lebih erat dengan negara bukan konflik seperti Bangladesh, Turkiye, dan negara Afrika.
2. Perkasa Pengeluaran Tempatan: Galakkan pengeluaran domestik bahan asas seperti bawang, kekacang dan rempah dengan insentif teknologi dan sokongan ladang
kontrak.
3. Diplomasi Perdagangan Berstrategi: Kukuhkan hubungan dua hala dengan India dan Pakistan melalui ASEAN dan OIC sebagai platform rundingan tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
4. Perubahan Struktur Pertanian: Tingkatkan penggunaan teknologi tinggi dalam pertanian dan buka semula perbincangan mengenai ladang makanan mega secara mampan.
Ancaman ini sebenarnya peluang?
Di sebalik cabaran yang dibawa oleh konflik India-Pakistan, terdapat ruang untuk Malaysia memperkukuh keupayaan dalaman dan mempelbagaikan pendekatan luar. Isu ini harus dijadikan panggilan untuk tindakan bahawa dalam dunia yang saling bergantung ini, keselamatan makanan dan komoditi bukan sahaja soal pertanian, tetapi soal strategi kebangsaan. Kegagalan bertindak sekarang akan mengundang krisis yang lebih parah di masa depan. Sebaliknya, keberanian untuk merombak sistem yang sedia ada boleh menjadikan Malaysia lebih berdaya tahan dan berdikari dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Oleh: Prof. Madya Dr. Azlan Abas
Pensyarah Program Pengurusan Persekitaran
Universiti Kebangsaan Malaysia