Sebahagian jemaah haji yang bakal berlepas ke Tanah Suci Mekah Pada Majlis Pelepasan Kumpulan Pertama Jemaah Haji di Pussat Konvensyen Movenpick KLIA, Sepang. Foto MUHD NA'IM, 04 JUNE 2022.

KUALA LUMPUR – Permohonan untuk mendapatkan kuota tambahan jemaah haji hanya akan diketahui hujung bulan ini.

Perkembangan itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang memberitahu, pihaknya masih belum menerima sebarang makluman daripada kerajaan Arab Saudi berhubung perkara tersebut.

Katanya, ia mungkin hanya dapat diketahui pada penghujung Mei kerana pada Jun nanti sudah masuk musim haji.

“Tahun lepas memang macam tu kita terima jawapan tu memang agak lewat. Mungkin ada pertimbangan-pertimbangan.

“Saya percaya kalau ikut trend tahun-tahun lepas ada (kuota haji). Cuma tahun ni kita pun tak tahu, sebab kita tak tahu berapa banyak dan kita tak pasti lagi apa polisi yang akan kerajaan Arab Saudi gunakan pada tahun ni.

“Kalau dia kata ketat, contohnya kalau dia tak nak jumlah yang begitu ramai dalam masjid (Masjidil Haram), seperti mana yang berlaku masa Covid-19 dulu,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Peralihan Penstrukturan Pengurusan IKB dan KPBKL di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, pertambahan kuota itu mungkin boleh berlaku namun, ia bergantung kepada polisi yang akan diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Sebelum ini, Mohd Na’im memberikan jawapan sama ketika ditanya media berhubung perkara tersebut.

Beliau berkata, pihaknya masih menunggu keputusan mengenai perkara tersebut dan menulis surat kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabi’ah, untuk mendapatkan kuota tambahan sebanyak 10,000 orang.

Menurut Mohd Na’im, setakat ini sebanyak 91 peratus bakal jemaah haji Malaysia telah menghantar surat penerimaan dan menerima tarikh penerbangan masing-masing.

Manakala, baki sembilan peratus lagi masih belum menerima jawapan sama ada mereka menerima tawaran haji berkenaan atau tidak.

Mohd Na’im memberitahu, Tabung Haji telah menerima 84,000 rayuan untuk menunaikan haji, sedangkan kuota rasmi yang diperuntukkan hanya 31,600 tempat.

Difahamkan, daripada jumlah rayuan tersebut, hampir 80,000 orang jemaah bersedia untuk membayar kos haji sepenuhnya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here