Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony diiring pegawai penjara bagi semakan keputusan rayuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara tiga dan denda RM50,000 kerana memalsukan dokumen, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 12 MEI 2025

PUTRAJAYA – Permohonan semakan Datuk Peter Anthony terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000, akan diteruskan meskipun alasan penghakiman penuh belum disiapkan oleh panel terdahulu Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali turut berpendapat, pihak pendakwaan boleh meneruskan bantahan awal pada prosiding yang akan dijadualkan kemudian.

Sehubungan itu, beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli menetapkan pengurusan kes pada Jumaat ini (16 Mei) bagi menetapkan tarikh pendengaran kedua-duanya.

“Sama ada alasan penghakiman disiapkan atau tidak, mahkamah akan mendengar permohonan semakan dan bantahan awal pendakwaan pada hari yang sama,” ujar Hakim Che Mohd. Ruzima.

Terdahulu, peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili Peter memohon prosiding itu dipercepatkan kerana status anak guamnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, masih tergantung.

Beliau memaklumkan, pihaknya sudah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan alasan penghakiman penuh, namun ia masih belum siap.

Ujar beliau, alasan penghakiman yang lengkap itu perlu untuk digunakan pada pendengaran permohonan semakan.

“Oleh kerana alasan belum siap, kami memohon transkrip rakaman mahkamah (CRT) pada 20 April lalu, namun tidak diberikan hingga kini. Kami hanya menerima nota prosiding pada Jumaat lalu,” ujarnya.

Pada peringkat itu, Hakim Che Ruzima mencelah permohonan semakan tidak memerlukan alasan penghakiman penuh kerana panel bersidang tidak boleh mengkaji semula (revisit) keputusan panel terdahulu yang mendengar rayuan Peter.

Hakim berkenaan menjelaskan, panel bersidang hanya boleh menyemak keputusan terdahulu jika berlaku perlanggaran prosedur dalam keputusan yang dicapainya.

“Kita tidak boleh `revisit’ keputusan panel terdahulu (melainkan ada perlanggaran prosedur), jadi kenapa perlu alasan penghakiman penuh?” ujar beliau.

Pada peringkat itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bangun menjelaskan bahawa panel terdahulu sudah memaklumkan (ketika prosiding rayuan) bahawa alasan penghakiman penuh akan disediakan.

Kata beliau, alasan penghakiman ringkas yang dikeluarkan oleh mahkamah tidak mengandungi butiran yang akan dihujahkan dalam permohonan semakan kelak.

“Oleh kerana panel sebelum ini sudah memberi indikasi bahawa alasan penuh sedang disediakan, jadi pendakwaan berpendapat, permohonan semakan pada peringkat ini adalah pramatang, sebab itu kami kemukakan bantahan awal.

“Kami tidak melarang mereka memfailkan semakan, tapi tungggulah dahulu (sehingga alasan penghakiman penuh siap). Pendakwaan memohon agar bantahan awal didengar terlebih dahulu sebelum permohonan semakan,” ujar Wan Shaharuddin.

Hari ini, mahkamah sepatutnya mendengar bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan semakan Peter yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastuktur Sabah. Bantahan awal difailkan pada 25 April lalu.

Peter memohon menyemak keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 kerana kesalahan pemalsuan dokumen.

Dalam notis bantahan awal, pihak pendakwaan menyatakan, permohonan semakan itu bersifat pramatang (premature) kerana alasan penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan belum lagi lengkap dan belum dikemukakan kepada semua pihak.

Peter didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022 kerana memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

Pemohon kemudiannya telah merayu keputusan tersebut ke Mahkamah Tinggi dan ditolak pada 18 April 2023. Tidak berpuas hati terhadap keputusan itu, Peter selanjutnya merayu ke Mahkamah Rayuan dan ia juga ditolak pada 4 Mac lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here